Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fad Bocey kembali jadi DJ Suria FM

    Selepas hampir dua tahun meninggalkan dunia penyiaran radio, pelawak Fad Bocey akhirnya kembali ke konti apabila diumumkan sebagai penyampai baharu Suria FM.

    Kemunculan semula Fad atau nama asalnya Muhammad Fadzlie Mohd. Nizam, 34, adalah bagi menggantikan dua penyampai terdahulu, Datuk Fizz Fairuz dan Suraya Borhan, sekali gus menyaksikannya bergandingan dengan Ajak dalam segmen Morning-Morning Suria (MMS).

    “Pertama sekali saya bersyukur setelah lama berehat hampir dua tahun dan kini saya kembali di kerusi Suria FM setiap pagi Isnin hingga Jumaat.

    “Tiada niat lain hanya ingin mencari rezeki dan lagi satu bila saya tahu digandingkan dengan sahabat saya Ajak yang pernah sepentas dulu, perasaan teruja sangat luar biasa sebab saya selesa dengan dia,” katanya ketika dihubungi Kosmo.

    Menerusi sebuah kenyataan rasmi, pelakon filem Impak Maksima 2 itu mula ke udara secara rasmi bermula hari ini.

    Dalam kenyataan sama, Suria FM percaya gandingan Fad dan Ajak akan membawa kombinasi energi dan elemen hiburan yang dapat menyuntik nafas baharu dalam segment berkenaan.

    Suria FM turut memaklumkan pertukaran semula Kai Hassan ke segmen Suria Petang bersama Chiwan yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat dari pukul 3 petang hingga 7 malam.

    Sebelum ini, Fad berkhidmat sebagai penyampai radio di Hot FM mengendalikan segmen Hot Squad Bersama Fizi Ali dan mengundur diri selepas bertugas hampir dua tahun.

    Beliau juga pernah menjadi penyampai radio jemputan di Suria FM pada tahun 2023. – Agensi

    Fad Bocey kini bergandingan dengan Ajak dalam segmen Morning-Morning Suria (MMS) setiap Isnin hingga Jumaat. – kosmo
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda