KUALA LUMPUR, 14 FEB – Pelumba berbasikal trek Malaysia, Muhammad Fadhil Mohd Zonis menyasarkan untuk mencipta rekod terpantas 58 saat (s) bagi acara 1 kilometer (km) ujian masa individu (ITT) elit lelaki di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 yang akan bermula 21 Februari ini.
Muhammad Fadhil berkata jika pada ACC sebelum ini beliau sudah berjaya memiliki pingat emas, namun bagi ACC tahun ini beliau mahu mencipta rekod baharu itu bagi membuktikan dirinya masih mampu mencipta kejutan.
Beliau menyatakan bahawa dia kini sudah memperoleh semula rentak keyakinan setelah lama berehat tahun lepas, melihat kepada pencapaiannya pada siri kedua saingan Siri Trek ASEAN (Piala Presiden) Januari lepas.
“Saya dari dulu, ACC saya target acara 1km ujian masa, kalau dapat masuk bagi kali ini, saya mahu cuba dapatkan 58s, untuk Asia tidak ramai yang sudah mencatat rekod ini, saya juga nak kekalkan medal.
“Selain itu, untuk acara keirin berpasukan kalau boleh nak cuba dapatkan pingat,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P23-3_15022025.jpg)
Beliau berkata skuad Malaysia masih mencari pelumba pertama untuk melengkapkan pasukan bagi beraksi acara berpasukan keirin dengan dia akan beraksi sebagai pelumba ketiga dan Muhammad Ridwan Sahrom sebagai pelumba kedua.
ACC 2025 akan berlangsung di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan bermula 21 hingga 27 Februari depan.
Tahun lepas, Muhammad Fadhil terpaksa menarik diri bagi ACC 2024 di New Delhi apabila menghidapi jangkitan virus.
Dalam ACC 2023, beliau melakar sejarah apabila memenangi emas 1km ujian masa yang pertama dalam kariernya menerusi catatan masa satu minit (m) 00.559s. – Bernama