Wednesday, April 30, 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fadhilat sembahyang Sunat Rawatib

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    SIRI 1

    SEMBAHYANG sunat Rawatib ialah sembahyang sunat yang mengiringi sembahyang fardu lima waktu, apabila dikerjakan sebelum mendirikan sembahyang fardu disebut sebagai qabliyyah, apabila dikerjakan selepasnya disebut ba‘diyyah.

    Sembahyang sunat ini tergolong daripada jenis sembahyang-sembahyang sunat yang tidak disunatkan berjemaah. Sungguhpun demikian, bukanlah bererti tidak boleh mengerjakannya secara berjemaah, bahkan tidak makruh mengerjakannya secara berjemaah, akan tetapi adalah awla (lebih baik) untuk tidak berjemaah.

    Sembahyang sunat Rawatib juga sunat dikerjakan sama ada ketika sedang bermukim mahupun ketika dalam pelayaran, sekalipun sembahyang fardu yang dikerjakan itu secara qashar.

    1. Sembahyang Sunat Rawatib Subuh

    Sunat sembahyang dua rakaat sebelum menunaikan sembahyang fardu Subuh. Sembahyang ini dikenali juga dengan nama sembahyang sunat Fajar. Menurut ulama, sembahyang sunat Subuh ataupun Fajar ini tergolong dalam sembahyang sunat yang sangat dituntut (sunnah mu’akkadah).

    Sembahyang sunat Subuh ini sunat dikerjakan secara ringan (tidak dipanjangkan), dan disunatkan untuk membaca pada rakaat pertama ayat ke 136 daripada surah Al-Baqarah, dan pada rakaat kedua sunat dibaca ayat ke 64 daripada surah Ali ‘Imran.

    Selain dua ayat ini, disunatkan juga untuk membaca surah Al-Kaafirun pada rakaat pertama, dan surah Al-Ikhlas pada rakaat kedua, ataupun membaca surah Al-Insyiraah pada rakaat pertama dan surah Al-Fiil pada rakaat kedua.

    Disunatkan juga selepas mengerjakan sembahyang sunat Subuh ini untuk berbaring, dan adalah awla (lebih utama) untuk berbaring secara mengiring di bahu kanan, dengan menghadapkan muka dan bahagian depan badan ke arah qiblat sepertimana keadaannya di dalam kubur, kerana ini akan lebih mengingatkan seseorang itu kepada kematian, lalu dia akan berusaha melakukan amalan-amalan saleh dan bersiap-sedia untuk menghadapi kematian.

    Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau telah berkata yang maksudnya:

    “Bahawasanya Nabi Sallallahu ‘alaihi Wasallam apabila selesai mengerjakan sembahyang sunat dua rakaat Fajar (Subuh), Baginda berbaring (mengiring) di atas bahu kanan Baginda.” (Hadis riwayat Imam al- Bukhari)

    Sebelum berbaring, iaitu setelah selesai sahaja mengerjakan sembahyang sunat Subuh, sebahagian ulama menganjurkan untuk membaca doa berikut sebanyak tiga kali yang ertinya, “Ya Allah! Tuhan Jibril, Israfil, Mikail dan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi Wasallam, aku berlindung dengan-Mu daripada api neraka.”

    Dalam kitab Fath al-‘Allam turut disebutkan bahawa adalah baik untuk diamalkan doa berikut bagi meneguhkan iman sebanyak empat puluh kali dalam waktu di antara sunat Subuh dan sembahyang fardu nya (selepas sembahyang sunat Subuh) yang membawa erti, “Wahai Tuhan yang Maha Hidup, wahai Tuhan yang Maha Berdiri Sendiri. Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau.”

    At-Tirmidzi al-Hakim pula mengajarkan amalan doa berikut supaya tidak kehilangan iman dan dibaca empat puluh satu kali selepas sembahyang sunat Subuh, iaitu, “Wahai Tuhan yang Maha Hidup, wahai Tuhan yang Maha Berdiri Sendiri, wahai Tuhan Pencipta langit dan bumi, wahai Tuhan yang memiliki segala kebesaran dan kemuliaan. Ya Allah, tiada Tuhan selain Engkau, aku memohon kepada-Mu supaya menghidupkan hatiku dengan cahaya makrifat-Mu. Ya Allah, ya Allah, ya Allah, wahai Tuhan Yang Maha Mengasihani daripada Yang Mengasihani.”

    Jika sembahyang sunat Subuh itu dikerjakan selepas sembahyang fardu Subuh kerana sembahyang fardu Subuh sudahpun didirikan oleh imam, ataupun takut tidak sempat bertakbiratul ihram bersama-sama imam jika mengerjakannya terlebih dahulu (sembahyang sunat Subuh), maka menurut pendapat yang muktamad dalam mazhab asy-Syafi‘i, adalah disunatkan juga berbaring selepas sembahyang sunat Subuh itu.

    Dalam hal ini, sungguhpun sembahyang sunat Subuh yang sepatutnya dikerjakan sebelum sembahyang fardu Subuh itu dikerjakan selepasnya (sembahyang fardu Subuh), ia masih lagi dikira tunai kerana ianya masih lagi dilakukan dalam waktu Subuh. Begitu juga halnya bagi sembahyang-sembahyang sunat Rawatib Qabliyyah yang lain.

    Bagaimanapun, sembahyang sunat Rawatib Ba‘diyyah tidak boleh sekali-kali didahulukan daripada sembahyang fardu kerana waktunya (Rawatib Ba‘diyyah) belum lagi masuk sekalipun sembahyang fardu yang dilakukan itu adalah sembahyang qadha.

    Ini kerana menurut ulama-ulama mazhab asy-Syafi‘i, waktu bagi Rawatib Ba‘diyyah itu bermula setelah selesai sahaja mengerjakan sembahyang fardu , dengan syarat orang tersebut mestilah yakin bahawa sembahyang fardu nya itu tadi adalah sah, dan waktunya berkekalan sehinggalah habis waktu sembahyang fardu tersebut, sedangkan waktu Rawatib Qabliyyah itu bermula dengan masuknya waktu sembahyang fardu , dan waktunya berkekalan sehinggalah habis waktu sembahyang fardu tersebut, kerana itulah sembahyang sunat Rawatib Qabliyyah itu sungguhpun dikerjakan selepas sembahyang fardu , ianya masih lagi dikira tunai selagimana ianya dikerjakan dalam waktunya.

    Jika berbaring ini sukar dilakukan, maka bolehlah sembahyang sunat Subuh itu dipisahkan dengan sembahyang fardu Subuh dengan cara bercakap, sama ada dengan membaca zikir, doa ukhrawi (hal-hal akhirat) ataupun dengan membaca Al-Qur’an.

    Jika tidak mampu juga, maka memadailah dengan beralih tempat untuk memisahkan di antara kedua sembahyang sunat Subuh dengan sembahyang fardu nya.

    Fadhilatnya

    Telah sabit dikhabarkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam tidak pernah meninggalkan sembahyang sunat Fajar (Subuh) ini sama ada ketika Baginda sedang bermukim mahupun ketika Baginda dalam perjalanan (musafir). ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha telah berkata yang maksudnya:

    “Tiada suatu sembahyang sunat pun yang dijaga oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melebihi dari penjagaannya terhadap sembahyang sunat dua rakaat Fajar (Subuh).” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

    Dalam sebuah lagi hadis hasan shahih, Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha telah meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah bersabda yang maksudnya, “Dua rakaat sembahyang sunat Fajar (Subuh) itu lebih baik daripada dunia serta segala isinya.” (Hadis riwayat Imam Muslim dan at-Tirmidzi)

    Niat Sembahyang Sunat Subuh/ Fajar

    “Sahaja aku sembahyang sunat Subuh dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

    2. Sembahyang Sunat Rawatib Qabliyyah Dan Ba‘diyyah Zuhur

    Sunat sembahyang empat rakaat (Qabliyyah Zuhur) sebelum mengerjakan sembahyang fardu Zuhur, dua rakaat daripadanya adalah sunnah mu’akkadah, dan dua rakaat tambahannya lagi adalah sunnah ghairi mu’akkadah (sunat yang tidak dituntut).

    Begitu juga disunatkan sembahyang sunat empat rakaat (Ba‘diyyah Zuhur) selepas mengerjakan sembahyang fardu Zuhur, dengan dua rakaat daripadanya adalah sunnah mu’akkadah, dan dua rakaat tambahannya pula adalah sunnah ghairi mu’akkadah.

    Apabila mengerjakan sembahyang sunat empat rakaat Qabliyyah mahupun Ba‘diyyah Zuhur ini, adalah disunatkan untuk mengerjakannya secara dua-dua rakaat, dengan memberi salam selepas setiap dua rakaat. Ini berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada Sayyidina ‘Ali Karramallahu Wajhah, beliau berkata yang maksudnya:

    “Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersembahyang sunat sebelum sembahyang fardu Asar sebanyak empat rakaat dengan memisahkan setiap dua rakaat dengan memberi salam (setiap dua rakaat).”

    (Hadis riwayat Imam at-Tirmidzi)

    Dalam sebuah lagi hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma dan dihukumkan sebagai hadis shahih oleh Imam Ibnu Hibban, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah bersabda yang maksudnya, “Sembahyang (sunat) waktu malam dan siang itu dua-dua rakaat.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

    Selain mengerjakannya secara dua-dua rakaat, menurut Imam an-Nawawi boleh juga ia dikerjakan empat rakaat sekaligus dengan satu salam, sama ada bertasyahhud dua kali, iaitu selepas dua rakaat dan empat rakaat (tasyahhud awal dan akhir) ataupun hanya bertasyahhud selepas empat rakaat (tasyahhud akhir).

    Fadhilatnya

    Dalam sebuah hadits shahih Sunan at-Tirmidzi, Ummu Habibah Radhiallahu ‘anha meriwayatkan bahawasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    “Barangsiapa yang memelihara (mengamalkan) sembahyang sunat empat rakaat sebelum sembahyang fardu Zuhur dan empat rakaat selepasnya nescaya Allah akan mengharamkan untuknya api neraka.”

    (Hadits riwayat Imam at-Tirmidzi)

    Begitu juga dengan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha yang maksudnya:

    “Sesungguhnya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah meninggalkan sembahyang sunat empat rakaat sebelum sembahyang fardu Zuhur dan dua rakaat sebelum sembahyang fardu Subuh.”

    (Hadits riwayat Imam al-Bukhari)

    Niat Sembahyang Sunat Qabliyyah Zuhur Dua Rakaat

    “Sahaja aku sembahyang sunat Qabliyyah Zuhur dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

    Niat Sembahyang Sunat Qabliyyah Zuhur Empat Rakaat

    “Sahaja aku sembahyang sunat Qabliyyah Zuhur empat rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

    Niat Sembahyang Sunat Ba‘diyyah Zuhur Dua Rakaat

    “Sahaja aku sembahyang sunat Ba‘diyyah Zuhur dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

    Niat Sembahyang Sunat Ba‘diyyah Zuhur Empat Rakaat

    “Sahaja aku sembahyang sunat Ba‘diyyah Zuhur empat rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

    Bersambung minggu depan…

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda