Sunday, May 11, 2025
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fadilat Sembahyang Sunat Rawatib

    (Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wassallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    SIRI 2

    3. Sembahyang Sunat Rawatib Asar

    SUNAT melakukan sembahyang empat rakaat sebelum mengerjakan sembahyang fardu Asar, dan lebih afdal dikerjakan dua-dua rakaat, dengan memberi salam selepas setiap dua rakaat, dan boleh juga dikerjakan empat rakaat sekali gus dengan satu salam sama ada bertasyahhud dua kali, iaitu selepas dua rakaat dan empat rakaat (tasyahhud awal dan akhir) ataupun hanya bertasyahhud selepas empat rakaat (tasyahhud akhir) sepertimana halnya sembahyang sunat Rawatib Zuhur.

    Fadilatnya

    Sungguhpun sembahyang Rawatib Asar ini adalah sunnah ghairi mu’akkadah, akan tetapi adalah perlu ianya dikerjakan dengan harapan akan termasuk dalam golongan orang-orang yang didoakan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi Wassalam dalam sabda Baginda yang maksudnya:

    “Mudah-mudahan Allah akan merahmati orang yang mengerjakan sembahyang sunat sebelum sembahyang fardu Asar sebanyak empat rakaat.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmidzi, Ahmad dan Ibnu Khuzaimah)

    Niat sembahyang Sunat Asar Dua Rakaat

    “Sahaja aku sembahyang sunat Asar dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

    Niat sembahyang Sunat Asar Empat Rakaat

    “Sahaja aku sembahyang sunat Asar empat rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

    4. Sembahyang Sunat Rawatib Qabliyyah dan Ba‘diyyah Maghrib

    Sunat melakukan sembahyang dua rakaat secara ringan (tidak dipanjangkan) sebelum mengerjakan sembahyang fardu Maghrib. Hukum sembahyang Qabliyyah Maghrib ini adalah sunnah ghairi mu’akkadah.

    Ini berdalilkan daripada hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mughaffil al-Muzani Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi Sallallahu ‘alaihi Wassalam telah bersabda yang maksudnya, “Bersembahyanglah kamu sebelum fardu Maghrib.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

    Telah sabit juga diriwayatkan bahawa para sahabat Radhiallahu ‘anhum bergegas menuju tiang-tiang (untuk bersembahyang sunat Qabliyyah Maghrib) apabila azan Maghrib berkumandang sehinggakan orang-orang yang baru masuk ke masjid menyangka bahawa sembahyang fardu Maghrib telah pun didirikan.

    Adapun jika sekiranya azan Maghrib baru saja selesai berkumandang, imam lalu bergegas untuk mengerjakan sembahyang fardu Maghrib, sepertimana kebiasaan yang diamalkan di kebanyakan masjid, maka dalam hal ini sebagai mengambil fadilat bertakbiratul ihram bersama imam, maka bolehlah sembahyang sunat Qabliyyah Maghrib ini dikerjakan selepas mengerjakan sembahyang fardu Maghrib tanpa menghilangkan fadilatnya kerana terdapat keuzuran.

    Akan tetapi jika orang tersebut mengetahui bahawa akan ada jemaah sembahyang fardu Maghrib yang kedua, dan dia yakin bahawa dia akan sempat bertakbiratul ihram bersama imam jemaah yang kedua itu selepas mengerjakan sembahyang sunat Qabliyyah Maghrib, maka dalam hal ini sunat baginya mendahulukan untuk mengerjakan sembahyang sunat Qabliyyah Maghrib dan meninggalkan jemaah yang pertama, selagi mana tidak terdapat kelebihan pada jemaah pertama itu tadi daripada jemaah kedua tersebut, seperti jemaah yang lebih banyak ataupun imam yang lebih berilmu dan sebagainya. Begitulah juga halnya dengan sembahyang-sembahyang sunat Rawatib Qabliyyah yang lain.

    Perlu diambil ingatan bahawa kebiasaan yang diamalkan di sesetengah masjid yang mana imamnya bergegas mengerjakan sembahyang fardu khususnya sembahyang fardu Maghrib sehinggakan para jemaah tiada kesempatan untuk mengerjakan sembahyang sunat Rawatib Qabliyyah adalah suatu amalan yang tidak patut, bahkan hukumnya adalah makruh.

    Selain sembahyang sunat Qabliyyah Maghrib, disunatkan juga (sunnah mu’akkadah) melakukan sembahyang sunat dua rakaat selepas sembahyang fardu Maghrib (Ba’dhiyyah Maghrib), dan sunat hukumnya memanjangkannya di samping dianjurkan supaya menyegerakannya, iaitu dengan mengerjakannya sejurus sahaja selesai sembahyang fardu Maghrib memandangkan waktu Maghrib yang tidak panjang.

    Bagaimanapun, tidaklah hilang fadilat menyegerakan Ba‘diyyah Maghrib itu dengan membaca zikir mahupun wirid selepas mengerjakan sembahyang fardu Maghrib sepertimana yang disebutkan dalam kitab Fath al-Mu‘in.

    Pada rakaat pertama sembahyang sunat Ba‘diyyah Maghrib ini, sunat membaca surah al-Kaafirun, sementara sunat membaca surah al-Ikhlas pada rakaat kedua. Menurut pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami, adalah disunatkan juga untuk membaca kedua-dua surah ini pada sembahyang-sembahyang sunat Rawatib yang lain yang tidak dikhususkan bacaannya.

    Bagi melaksanakan sunnah yang menganjurkan memanjangkan sembahyang sunat Ba‘diyyah Maghrib ini, menurut ulama adalah lebih baik menambahnya dengan surah-surah lain mengikut susunan mushaf selepas membaca surah al-Kaafirun pada rakaat pertama dan selepas membaca surah al-Ikhlas pada rakaat kedua. Misalnya selepas membaca surah al-Kaafirun, dibaca surah an-Nasr dan kemudian surah al-Masad pada rakaat pertama. Kemudian pada rakaat kedua pula selepas membaca surah al-Ikhlas dibaca surah al-Falaaq dan kemudian surah an-Naas.

    Jika tidak mampu melakukan sedemikian kerana tidak hafal, ataupun tidak tahu susunan surah-surah selepas surah al-Kaafirun dan surah al-Ikhlas ini, maka bolehlah menambahkannya tanpa perlu mengikut susunan mushaf.

    Niat sembahyang Sunat Qabliyyah Maghrib

    “Sahaja aku sembahyang sunat Qabliyyah Maghrib dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

    Niat sembahyang Sunat Ba‘diyyah Maghrib

    “Sahaja aku sembahyang sunat Ba‘diyyah Maghrib dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

    5. Sembahyang Sunat Rawatib Qabliyyah dan Ba‘diyyah ‘Isya’

    Sunat melakukan sembahyang dua rakaat sebelum sembahyang fardu ‘Isya’ (Qabliyyah ‘Isya’), berdasarkan umum hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wassalam yang maksudnya:

    “Antara azan dan iqamah itu ada sembahyang.”

    (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

    Disunatkan juga sembahyang sunat Ba‘diyyah sebanyak dua rakaat selepas sembahyang fardhu ‘Isya’, dan ianya tergolong daripada sunnah mu’akkadah. Manakala Qabliyyah ‘Isya’ pula sebaliknya iaitu sunnah ghairi mu’akkadah.

    Niat sembahyang Sunat Qabliyyah ‘Isya’

    “Sahaja aku sembahyang sunat Qabliyyah ‘Isya’ dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

    Niat sembahyang Sunat Ba‘diyyah ‘Isya’

    “Sahaja aku sembahyang sunat Ba‘diyyah ‘Isya’ dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

    6. Sembahyang Sunat Rawatib Qabliyyah Dan Ba‘diyyah Jumaat

    Sembahyang sunat Rawatib Qabliyyah dan Ba‘diyyah bagi sembahyang fardu Jumaat pula adalah sama kedudukannya dengan sembahyang sunat Rawatib Qabliyyah dan Ba‘diyyah Zuhur, iaitu empat rakaat bagi sembahyang sunat Qabliyyah dengan dua rakaat daripadanya adalah sunnah mu’akkadah, dan empat rakaat bagi sembahyang sunat Ba‘diyyah dengan dua rakaat daripadanya adalah sunnah mu’akkadah.

    Dalil-dalil yang disandarkan oleh ulama selain menqiyaskannya kepada sembahyang fardu Zuhur, ialah beberapa buah hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wassalam, antaranya umum hadis Baginda yang maksudnya, “Antara azan dan iqamah itu ada sembahyang.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

    Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma pula meriwayatkan katanya yang maksudnya:

    “Baginda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersembahyang selepas sembahyang fardhu Jumaat dua rakaat Ba‘diyyah di rumahnya.” (Hadis riwayat Imam Muslim, Abu Daud dan Ahmad)

    Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu pula berkata, bahawasanya Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam telah bersabda yang maksudnya:

    “Apabila bersembahyang seseorang daripada kamu sembahyang fardhu Jumaat, maka sembahyanglah (Ba‘diyyah Jumaat) selepasnya sebanyak empat rakaat.”

    (Hadis riwayat Imam Muslim)

    Dikhabarkan juga oleh Imam at-Tirmidzi bahawa Ibnu Mas‘ud Radhiallahu ‘anhu bersembahyang sunat empat rakaat sebelum sembahyang fardu Jumaat dan empat rakaat lagi selepasnya.

    Niat sembahyang Sunat Qabliyyah Jumaat Dua Rakaat

    “Sahaja aku sembahyang sunat Qabliyyah Jumaat dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

    Niat sembahyang Sunat Qabliyyah Jumaat Empat Rakaat

    “Sahaja aku sembahyang sunat Qabliyyah Jumaat empat rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

    Niat sembahyang Sunat Ba‘diyyah Jumaat Dua Rakaat

    “Sahaja aku sembahyang sunat Ba‘diyyah Jumaat dua rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

    Niat sembahyang Sunat Ba‘diyyah Jumaat Empat Rakaat

    “Sahaja aku sembahyang sunat Ba‘diyyah Jumaat empat rakaat kerana Allah Ta‘ala.”

    Bersambung minggu depan…

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda