Oleh Yusrin junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mei – Setiap sesuatu yang baik tidak bererti ianya merupakan perkara terbaik bagi kita, kerana kadang kala Allah menguji kita untuk memberikan sesuatu yang kita tidak mahukan.
Penyebab sesuatu perkara yang kita lalui itu akan mula kita fahami selepas ia berlalu dan dari situlah kita baru memahami mengapa ujian dan perkara itu diberikan kepada kita.
“Allah sebenarnya sayang kepada kita. Dia mahu melakukan sesuatu yang terbaik dalam hidup kita”.
Perkara tersebut merupakan antara intipati yang disentuh dalam ceramah semasa rancangan perbualan bertajuk Allah Sayang Kita yang disampaikan oleh ceramah jemputan dari Malaysia, Ebit Irawan bin Ibrahim Lew @ Lew Yun Pau di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Dalam ceramahnya, beliau juga turut berkongsi pengalaman beliau berceramah bersama geng-geng motor, di mana antara tujuan utama ceramah berkenaan adalah bagi menyedarkan mereka bahawa Allah sentiasa melihat hambaNya tidak kira mereka itu beragama Islam atau sebaliknya dan segala kita lakukan adalah hanya keranaNya.
Antara objektif acara ini diadakan ialah untuk menjadikan Allah sebagai keutamaan dalam kehidupan dan menikmati anugerah kasih sayang daripada Allah kepada setiap hambaNya, serta sebagai cara untuk berbagi kasih sayang Allah dengan orang lain.
Rancangan perbualan yang dipengerusikan oleh Pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Haji Khairul Nazif bin Haji Awang Damit itu dibukakan kepada orang ramai, di mana lebih 1000 orang jemaah hadir mendengarkan ceramah berkenaan.
Acara bersempena bulan Ramadan dan program akademi dakwah ini diungkayahkan oleh Belia Da’ie, Urusetia Program Keugamaan Belia, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).
Turut hadir mendengar ceramah berkenaan ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.
Juga hadir ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.