Fahami isu kesihatan mental

Oleh Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Lebih 50 orang warga Syarikat Joffren Omar Sdn Bhd telah menghadiri Taklimat Kesedaran Mental yang diadakan sebagai sebahagian daripada Kempen Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE) syarikat berkenaan pada tahun ini.

Majlis yang berlangsung di ibu pejabat syarikat berkenaan di Kawasan Perindustrian Ringan Sungai Bera, hari ini, turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Joffren Omar, Pengiran Mohd Noor Joffren bin Pengiran Omar serta warga pengurusan kanan dan kakitangan syarikat.

Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Perubatan Kanan Jabatan Psikiatri dari Hospital Suri Seri Begawan (SSB), Kuala Belait, Dr Syed Masroor Ali yang menyentuh mengenai pelbagai tanda dan simptom masalah mental serta berbagai-bagai rawatan yang termasuk pengetahuan masyarakat dan penerimaan terhadap isu-isu masalah mental serta penjagaan asas daripada klinik-klinik dan hospital.

Pada penghujung taklimat, sesi soal jawab diadakan bagi membolehkan kakitangan syarikat mengemukakan soalan dan berkongsi pengalaman dan pandangan mengenai masalah mental.

Antara tujuan taklimat berkenaan adalah untuk membantu mewujudkan kesedaran mengenai kesan stigma terhadap orang yang mempunyai masalah kesihatan mental dan juga untuk menilai sikap mereka kepada kesihatan dan masalah mental.

Dr Syed Masroor Ali menyampaikan taklimat kepada kakitangan syarikat.