Sunday, December 22, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fahami kepentingan kesihatan mental

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Dalam usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran semua lapisan masyarakat di negara ini dalam memahami kepentingan kesihatan mental dan kesejahteraan diri di tempat kerja, Kementerian Kesihatan telah meneruskan lagi penganjuran Jerayawara Kesihatan Mental dan Kesejahteraan di Tempat Kerja – Satu Hak Asasi di Dewan Serba guna, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), kelmarin.

    Jerayawara yang turut diungkayahkan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan KHEDN ini telah dihadiri lebih 100 orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan di bawah KHEDN.

    Jerayawara bersiri itu telah diadakan di kesemua kementerian bersempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023/2024 dan telah berlangsung pada setiap bulan bermula bulan Oktober 2023 dan berakhir di KHEDN di mana ia juga dihasrat untuk membantu masyarakat untuk meningkatkan produktiviti dan semangat kerja yang boleh membawa kepada penambahbaikan kesejahteraan jangka panjang di Negara Brunei Darussalam.

    Menerusi jerayawara kali ini, dua perkongsian ilmu berkaitan dengan kesihatan mental telah disampaikan oleh dua orang ahli panel profesional terdiri daripada Ahli Psikologi, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dayang Nur Imanina Taqiah binti Haji Abdul Taif; dan Penolong Kaunselor, Jabatan Penjara, KHEDN, Awang Fariszal bin Ali.

    Jerayawara yang juga selaras dengan tema sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia pada tahun ini iaitu Kesihatan Mental dan Tempat Kerja, bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kepekaan orang ramai khususnya dalam pencegahan penyakit mental dan pengurusan kesihatan mental di samping sebagai satu wadah untuk mengongsikan kepentingan penjagaan kesihatan mental dan kesejahteraan diri selain mengurangkan stigma sosial, pandangan negatif terhadap isu-isu berkaitan kesihatan mental khususnya dalam kalangan penjawat awam.

    Selain penyampaian taklimat, jerayawara juga telah diisikan dengan pameran interaktif yang dikendalikan bersama sokongan padu daripada Bahagian Kaunseling, Jabatan Perkhidmatan Awam, Persatuan Bulan Sabit Merah, Clarity Sdn Bhd, Program Kesihatan dan Tempat Kerja dan Unit Strategi Kesihatan Mental dari Pusat Promosi Kesihatan, serta dari Perkhidmatan Psikologi dan Perkhidmatan Psikiatri, Kementerian Kesihatan.

    Jerayawara juga diisikan dengan pameran interaktif. – GAMBAR SERAHAN PUSAT PROMOSI KESIHATAN
    Gambar ramai peserta yang mengambil bahagian dalam jerayawara tersebut. – GAMBAR SERAHAN PUSAT PROMOSI KESIHATAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda