Friday, March 14, 2025
32.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fahami kepentingan kesihatan usus

    KUALA LUMPUR – Usus yang sering dirujuk sebagai otak kedua, memainkan peranan penting dalam menggalakkan kesejahteraan mental secara keseluruhan dan oleh itu, adalah penting untuk mengekalkan kesihatan usus yang baik kerana ia asas fungsi optimum badan.

    Menurut Pakar Perunding Gastro-enterologi dan Hepatologi Sunway Medical Centre Velocity (SMCV), Dr Tan Yu Peng adalah penting untuk mengetahui dan memahami tanda-tanda usus yang tidak sihat.

    “Penghadaman yang lemah boleh ditunjukkan dalam pelbagai cara seperti kembung, sakit perut, cirit-birit, sembelit, turun naik berat badan, gangguan kulit dan juga emosi.

    “Jika tidak dirawat, gejala ini boleh membawa kepada keadaan yang lebih teruk seperti masalah autoimun dan diabetes dalam jangka masa panjang. Oleh itu, bersikap proaktif terhadap kesihatan usus dan mengambil langkah untuk memperbaikinya boleh memberi manfaat yang besar untuk kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata apabila usia manusia semakin meningkat, tubuh perlu menyesuaikan diri dengan pelbagai perubahan seperti tulang mengecut dalam ketumpatan dan kekuatan serta otot kehilangan daya tahan dan fleksibiliti.

    Makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran, bijirin penuh, kekacang, ikan dan minyak zaitun yang boleh membantu kesihatan usus dan mental.

    Dr Tan berkata dalam usus kita, mikrobiom usus juga perlu menyesuaikan diri untuk menampung perubahan tubuh secara keseluruhan dan beberapa perubahan ini termasuk esofagus bergerak lebih perlahan, dinding perut menjadi lebih nipis dan pengeluaran rembesan jus perut berkurangan dari semasa ke semasa.

    Perlu perubahan diet

    Beliau berkata faktor-faktor tertentu ini akan memberi kesan kepada keupayaan untuk mencerna makanan dan memprosesnya menjadi tenaga, justeru warga emas perlu memberi lebih perhatian kepada rutin harian dan perubahan diet yang paling sesuai dengan keperluan mereka.

    “Tambahan pula, keseimbangan halus bakteria baik dan jahat dalam usus kita mungkin berubah, mengakibatkan peningkatan bakteria berbahaya dan kehilangan kepelbagaian, menyebabkan penyakit seperti refluks atau ulser peptik, radang usus dan kanser kolon adalah perkara biasa pada orang tua.

    “Proses penuaan juga boleh menjejaskan pergerakan otot, berpotensi menyebabkan gejala tidak selesa seperti sembelit, kekotoran najis, inkontinensia dan gatal perineum,” katanya.

    Bagaimanapun, Dr Tan berkata isu-isu ini boleh dikurangkan selagi kita mengutamakan kesihatan secara keseluruhan dan mengambil berat tentang makanan kita tanpa mengira usia kerana makanan yang kita makan memainkan peranan penting dalam kesihatan secara keseluruhan.

    Mengekalkan diet serat tinggi, termasuk serat larut dan tidak larut serta mengehadkan makanan yang tinggi lemak dan gula adalah penting.

    “Mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersenam secara teratur, elakkan merokok dan alkohol serta mengehadkan pengambilan kafein boleh menyumbang kepada usus yang sihat,” kongsi beliau.

    Dr Tan menambah menggabungkan prebiotik dan probiotik, yang terdapat dalam bentuk makanan semula jadi seperti yogurt atau makanan tambahan, boleh menggalakkan mikrobiom usus yang sihat.

    Usus otak sentiasa berkomunikasi

    Sementara itu, Perunding Psikiatri SMCV, Dr Ryan Tee Chun Keat berkata usus dan otak, walaupun dua entiti berasingan, berkait rapat dan juga dikenali sebagai paksi usus-otak, yang berfungsi penting bukan sahaja dalam menguruskan emosi dan tekanan tetapi juga membantu penghadaman.

    “Ini kerana sistem saraf enterik (ENS), yang bertanggungjawab mengawal saluran gastrousus (GI), berkomunikasi dengan otak kita menggunakan neuron dan neurotransmitter yang sama seperti sistem saraf pusat.

    “Ini bermakna usus dan otak kita sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain, mempengaruhi fungsi masing-masing dalam masa nyata,” katanya.

    Beliau berkata sebagai contoh, semasa tindak balas fight or flight, ENS bertindak balas dengan melambatkan penghadaman, mengalihkan lebih banyak tenaga ke arah keadaan yang menyebabkan ancaman.

    “Kesalinghubungan ini berfungsi dalam kedua-dua cara, kerana keadaan emosi semasa kita juga boleh memberi kesan yang besar kepada sistem GI kita.

    “Sebagai contoh, orang yang mengalami kemurungan, kebimbangan atau tekanan boleh mengalami gejala gastrousus seperti ketidakselesaan perut, kembung, senak, kekejangan perut, sembelit dan cirit-birit,” katanya.

    Gaya hidup sihat

    Beliau mengingatkan kita bahawa menjadi manusia bermakna mengalami pelbagai emosi, daripada kegembiraan dan kebahagiaan kepada kesedihan, kemarahan, iri hati dan jijik.

    Adalah natural dan penting untuk tidak mengabaikan atau membatalkan mana-mana perasaan ini.

    Walau bagaimanapun, jika ada emosi yang menjadi berlebihan sehingga mengabaikan kesihatan kita, Dr Ryan menasihati individu untuk mendapatkan bantuan daripada pakar psikiatri untuk penilaian kerana ia boleh menjadi tanda gangguan kesihatan mental yang memerlukan perhatian.

    Oleh itu, selain makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran, bijirin penuh, kekacang, ikan dan minyak zaitun, Dr Ryan mencadangkan terlibat dalam aktiviti yang menyeronokkan, beriadah, menghabiskan masa dengan orang tersayang atau mendapatkan rehat yang cukup yang boleh membantu usus dan kesihatan mental.

    “Apabila kita terlibat dalam aktiviti yang kita suka, otak kita melepaskan dopamin, yang memberi kita sensasi keseronokan. Merangsang laluan ganjaran di otak melalui aktiviti yang menyeronokkan, meningkatkan lagi rasa keseronokan kita.

    “Secara umum, mengamalkan gaya hidup sihat, menguruskan tekanan dengan baik dan menjaga kesejahteraan mental, boleh membantu mengawal kesihatan usus dan meningkatkan kesihatan kita secara keseluruhan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda