Oleh Imelda Groves HA
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Julai – Seramai 60 orang pegawai dari Unit Pendidikan Khas Ugama, Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam (JPI) dan guru-guru pendidikan khas agama seluruh negara telah mengikuti sesi perkongsian ‘Masalah Pertuturan dan Terapi bagi Murid-murid Berkeperluan Khas Agama’ di Sekolah Ugama Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Kuala Belait, di sini, baru-baru ini.
Rombongan didedahkan dengan sesi pengajaran dan pembelajaran berhubung kesukaran pembelajaran dan masalah pertuturan yang disampaikan oleh guru pendidikan khas agama Sekolah Ugama PAP Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Seria, Awang Sofian bin Metali.
Sesi perkongsian berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Bahagian Sekolah Agama, Hajah Sinega binti Haji Swadi dan pegawai-pegawai dari JPI.

Antara objektif perkongsian adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pendidikan dalam kalangan peserta agar dapatan dan lawatan berkenaan dapat diguna pakai di sekolah-sekolah di negara ini.
Di samping itu, ia juga diadakan untuk mendapatkan idea dan pedagogi pengajaran yang telah dilaksanakan oleh guru-guru pendidikan khas agama di Daerah Belait bagi meningkatkan motivasi agar berani tampil ke hadapan untuk menyahut pelbagai cabaran.