Wednesday, March 26, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fahami peranan pengurusan perkhidmatan awam

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Seramai 28 orang peserta Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) ke-32 mengikuti sesi Program Lawatan Industri ke Jabatan Pengurusan Perkhidmatan secara dalam talian.

    Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), di sini, lawatan itu dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Perkhidmatan Pengurusan, Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff.

    Lawatan itu bertujuan untuk mempelajari dan memahami fungsi dan peranan Jabatan Perkhidmatan Pengurusan dan dalam masa yang sama, melihat dan memahami cabaran dan isu-isu dari sudut pandangan yang lebih luas dalam usaha mencapai kecemerlangan dalam perkhidmatan awam.

    Lawatan diteruskan dengan tiga sesi taklimat mengenai beberapa bahagian yang terdapat di jabatan berkenaan di mana sesi taklimat pertama mengenai bahagian penyampaian perkhidmatan yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Penyampaian Perkhidmatan dan Ketua Pegawai Perkhidmatan, Dayang Azlina binti Dato Paduka Haji Alidin.

    Seterusnya taklimat disampaikan oleh Ketua Pegawai Perkhidmatan Pengurusan selaku Ketua Bahagian Pembaharuan, Awang Mohammad bin Tusin mengenai Bahagian Pembaharuan Perkhidmatan dan sesi terakhir mengenai Taklimat Bahagian Prestasi Organisasi disampaikan oleh Pemangku Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pengurusan dan Ketua Pegawai Perkhidmatan Pengurusan selaku Ketua Bahagian Prestasi Organisasi dan Ketua Bahagian Korporat dan Ehwal Antarabangsa, Hajah Normasidah binti Haji Abdul Majid.

    Antara peserta yang hadir pada Program Lawatan Industri ke Jabatan Pengurusan Perkhidmatan secara dalam talian, baru-baru ini. – Gambar serahan UNISSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda