Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Nov – Sebahagian besar daripada ekonomi Negara Brunei Darussalam masih bergantung kepada projek kerajaan yang mana pada tahun 2017, aktiviti perolehan awam dianggarkan mencapai nilai 19 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Kadar ini perlu diberi perhatian kerana ia bukan sahaja memberi impak kepada fungsi kerajaan yang baik, tetapi juga kecekapan sektor-sektor yang terlibat dalam rantaian bekalan daripada input hingga hasil.
Perkara ini ditekankan oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi) Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin pada Sesi Advokasi ‘Pemerolehan Awam dan Manipulasi Bidaan’, hari ini.
Menurut beliau lagi, kesemua aktiviti itu mempunyai impak kepada fungsi ekonomi yang baik.
Oleh yang demikian, penting untuk mempunyai kesedaran, belajar untuk mengesan dan mencegah manipulasi dalam tender atau pakatan sulit bidaan, yang boleh menaikkan harga serta barangan dan perkhidmatan dengan kualiti rendah.

Apabila manipulasi bidaan memberi impak kepada pemerolehan kerajaan, ia boleh menyebabkan kemudaratan kepada perbelanjaan kerajaan, tambah beliau.
Beliau dalam ucapannya turut menekankan bahawa bidaan atau tender merupakan proses penting dalam perolehan awam yang bertujuan untuk memastikan nilai harga yang terbaik, penggunaan sumber kerajaan yang cekap dan perbelanjaan yang berhemah.
“Kita tidak boleh menganggap proses persaingan hadir secara semula jadi,” tegasnya lagi.
Negara-negara Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) dan beberapa kajian lain turut melaporkan amalan manipulasi bidaan boleh meningkatkan kos barangan dan perkhidmatan sehingga 20 peratus atau lebih yang mana di negara-negara yang sedang membangun, kos ini boleh bertambah kepada 35 hingga 50 peratus.
Dr Hajah May Fa’ezah turut berkongsi beberapa kes di negara-negara OECD yang membuktikan bahawa penambahbaikan prosedur perolehan membawa kepada penjimatan signifikan.
Sesi advokasi tersebut menampilkan pakar persaingan, Mantan Ketua Cawangan Dasar Persaingan dan Penggunaan di Persidangan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) dan Felo Kanan di Universiti Melbourne, Dr Hassan Qaqaya.
Dengan pengalaman selama berdekad-dekad, Dr Hassan turut mencadangkan ketelusan bagi meningkatkan kecekapan proses perolehan awam dan keperluan pembangunan kapasiti dan latihan bagi pegawai kerajaan yang terlibat dengan perolehan barangan perkhidmatan.
Ini untuk memastikan kerajaan akan terus mendapatkan barangan dan perkhidmatan berkualiti dengan nilai harga terbaik serta mengekalkan perbelanjaan yang berhemah.
Dr Hassan turut mencadangkan untuk meneroka penggunaan e-perolehan dan teknologi-teknologi lain bagi menghindari sebarang amalan tender pakatan sulit.
Turut hadir pada sesi itu ialah pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam, ahli-ahli dan sekretariat Lembaga Tawaran Negara dan Lembaga Tawaran Kecil daripada pelbagai kementerian dan pegawai kanan dari Pejabat Peguam Negara dan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE).
Sesi itu dianjurkan oleh JPKE, Kementerian Kewangan dan Ekonomi melalui Jabatan Persaingan dan Hal Ehwal Pengguna.