Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Ogos – Dengan hasrat untuk mendapatkan pendedahan, memahami dan mengenali sejarah serta budaya Negara Brunei Darussalam, rombongan peserta Program Peningkatan Personel telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Pusat Sejarah Brunei, di sini, kelmarin.
Ketibaan rombongan seramai 47 orang peserta program yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) di Pusat Sejarah Brunei dialu-alukan oleh Pegawai Sejarah Kanan, Pengiran Hajah Mahani binti Pengiran Haji Ahmad di mana beliau turut memberikan pengenalan dan penerangan mengenai pusat tersebut.
Selain berpeluang melawat galeri pameran pusat berkenaan, rombongan turut mendengarkan penerangan oleh pegawai-pegawai Pusat Sejarah Brunei termasuk Penyelidik dan Penterjemah Bahasa Arab, Dr. Haji Abdul Kadir bin N.C Mohamad dan Pegawai Sejarah, Pusat Sejarah Brunei, Hajah Siti Aisah binti Pungut.


Program Peningkatan Personel merupakan rancangan jangka panjang kementerian dalam memberigakan peranan dan tanggungjawab kementerian serta jabatan-jabatan di bawahnya dan seterusnya meningkatkan pengetahuan, memantapkan serta melengkapkan setiap pegawai dan kakitangan dengan pengetahuan asas perkhidmatan awam, pendeknya Program Welcome to KKBS dan Public Service Made Simple.
Program itu dijalankan dalam dua fasa di mana bagi fasa pertama, semua taklimat diadakan di Dewan Digadong, Bangunan KKBS serta dalam fasa pertama itu, hampir kesemua kandungan taklimat adalah diperoleh daripada Institut Perkhidmatan Awam (IPA) yang difokuskan kepada kursus induksi di mana para peserta akan menerima sijil kursus induksi yang dikeluarkan oleh IPA.
Manakala itu, dalam fasa kedua program, para peserta mengikuti taklimat dan lawatan ke bahagian-bahagian dan jabatan-jabatan menurut jadual yang telah diaturkan. Dalam fasa ini, pegawai dan kakitangan akan didedahkan dengan peranan dan tanggungjawab KKBS dan jabatan-jabatan di bawahnya.

