KOTA KINABALU, 30 Jun – “Seorang ibu menyerahkan simpanannya yang berjumlah enam angka kepada lelaki yang dikenali hanya melalui Internet. Puas anak-anaknya menasihatkan jangan berikan wang itu tetapi tidak diendahkan.
Perkara ini dikongsi seorang pegawai kanan polis kepada orang ramai yang hadir di forum bertajuk ‘Challenges Facing The Future Cyberspace’ yang diadakan di Universiti Malaysia Sabah sempena Borneo Cyber Security Challenge 2017 pada April lepas.
Orang ramai yang hadir terperanjat dan sukar untuk mempercayai seseorang itu boleh dengan mudah tertipu seperti yang diceritakan Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), ACP Ahmad Nordin Ismail di majlis berkenaan.
Hakikatnya, meskipun forum demi forum dianjurkan untuk mewujudkan kesedaran orang ramai mengenai pelbagai risiko siber serta jumlah penipuan yang didedahkan oleh pihak polis dan media, saban hari masih ramai yang menjadi mangsa kepada orang yang hanya dikenali melalui Internet.
Ahmad Nordin menegaskan bahawa kejadian jenayah melibatkan internet sebenarnya adalah jenayah yang wujud sekian lama cuma kali ini dilakukan dengan pendekatan baru. Secara prinsip, apa yang salah di dunia sebenar juga satu kesalahan di dunia maya.
Jika diperhatikan dengan teliti, jenis jenayah yang dilakukan melalui dunia maya sebenarnya sama dengan apa yang berlaku di dunia nyata iaitu seperti menipu, mencuri, malah rogol dan bunuh. Penjenayah hanya melakukan sedikit perubahan mungkin dalam cara bekerja sesuai dengan kemajuan teknologi hari ini untuk mencari mangsa.
Kerja mereka menjadi lebih mudah kerana tidak perlu lagi memperkenalkan diri sebenar kerana boleh menyamar di sebalik identiti rekaan di dunia maya. Justeru, penipuan dalam talian yang melibatkan cinta, e-dagang dan kewangan, pornografi, berita palsu dan pelanggaran hak cipta tersebar luas.
Laman media sosial se-1perti Facebook, Instagram dan Bigo Live serta aplikasi sembang maya seperti Whatsapp, WeChat dan Telegram menyediakan akses tanpa had kepada mereka yang berpotensi menjadi mangsa. Selalunya wanita mudah menjadi mangsa kepada pelbagai penipuan, kasanova dan pemangsa seksual.
Penipuan merugikan mangsa
Walaupun setelah forum berkenaan dianjurkan pada April lepas, tidak ada tanda jumlah jenayah siber berkurangan. Nyata sekali ramai rakyat Malaysia masih bersikap tidak ambil tahu dan tidak peduli.
Jumlah kes dan kerugian terus meningkat saban tahun. Pada 2014, terdapat 1,026 kes penipuan ‘African Love Scam’ dilaporkan yang melibatkan kerugian berjumlah RM52.87 juta manakala pada 2016 bilangan itu meningkat kepada 2,489 kes dengan kerugian sebanyak RM98.9 juta. Dalam kesemua kes, mangsa tidak pernah bertemu secara langsung dengan kenalan yang mereka anggap ‘kekasih’ namun mudah menyerahkan wang mereka.
Penjenayah siber terlebih dahulu mengkaji pelbagai aspek yang berkaitan. Mereka juga mengenal pasti semua kelemahan sama ada dalam sistem mahupun bakal mangsa, sebelum mereka mengorak langkah.
“Sindiket itu menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi antarabangsa mereka kerana mereka mendapati Malaysia sebagai lokasi yang kondusif untuk aktiviti mereka terutamanya berdasarkan fakta bahawa Malaysia mempunyai sistem telekomunikasi yang baik dan sambungan Internet yang memudahkan operasi sindiket,” jelas Ahmad Nordin. – Bernama