Monday, February 10, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fahami teori, proses kaunseling

    Oleh Normazlina M.D

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Seramai 19 orang peserta yang terdiri daripada guru-guru sekolah menengah, maktab, sekolah rendah dan institusi swasta telah menerima sijil setelah mengikuti Kursus Asas Bimbingan dan Kaunseling bagi Guru-guru Sekolah Menengah, Maktab-maktab, Sekolah Rendah dan Institusi Swasta senegara ke-22, kelmarin.

    Majlis diadakan di Unit Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Bangunan Jabatan Sekolah-sekolah (JSS), Jalan Ong Sum Ping di mana hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan sijil ialah Ketua Bahagian Pengurusan dan Kepimpinan Sekolah di JSS, Awang Mohd Jais bin Haji Abdul Rahman.

    Turut hadir ialah Pemangku Ketua Hal Ehwal Pelajar di JSS, Haji Said bin Haji Salleh dan Ketua Unit Kaunseling dan Kerjaya, Hal Ehwal Pelajar di JSS, Haji Saili bin Haji Chuchu.

    Para peserta berkenaan telah mengikuti Kursus Asas Bimbingan dan Kaunseling pada 2 hingga 29 Mei yang lalu.

    Awang Mohd Jais bergambar ramai bersama para peserta kursus di Bangunan JSS, Jalan Ong Sum Ping.
    Awang Mohd Jais bergambar ramai bersama para peserta kursus di Bangunan JSS, Jalan Ong Sum Ping.
    Awang Mohd Jais ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta kursus.
    Awang Mohd Jais ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta kursus.

    Melalui kursus tersebut, para peserta telah diberikan kefahaman tentang pelbagai teori kaunseling dan kegunaannya, diberikan pendedahan dan ilmu tentang kemahiran-kemahiran asas kaunseling serta mengenal peringkat-peringkat dalam proses kaunseling dengan baik.

    Selain mempelajari teori, para peserta juga telah membuat latihan-latihan praktikal serta latihan dalam kelompok di luar padang dan seterusnya mengadakan lawatan ke Pusat Tingkatan Enam Meragang.

    Kursus tersebut juga adalah untuk memberi kefahaman tentang Latihan Dalam Kelompok (LDK) dan memberi pemahaman tentang kepentingan mengurus dan melaksanakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah.

    Selain penyampaian sijil, majlis turut diselajurkan dengan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama para peserta kursus bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama peserta dan pegawai-pegawai kaunseling yang terlibat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda