Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fahami tugas tentera, harmonikan hubungan rumah tangga

    BIDANG ketenteraan dalam Islam pada dasarnya adalah bertujuan untuk menjamin keselamatan sesebuah negara daripada sebarang ancaman tidak kira sama ada dari dalam negera ataupun dari luar negera.

    Hubungan luar dan antarabangsa Islam adalah di atas dasar perdamaian dan kerjasama yang luas.

    Peranan tentera

    Kerjaya sebagai seorang tentera dalam Islam merangkumi daripada banyak sudut perlindungan tersendiri.

    Pasukan tentera perlu mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara yang menjadi satu kemestian bagi Islam supaya sebuah kehidupan dapat dinikmati dalam keadaan aman dan harmoni tanpa sebarang gangguan.

    Dalam konteks ini, ketenteraan yang dikehendaki oleh Islam ialah satu angkatan atau organisasi yang dapat menggerunkan musuh iaitu satu angkatan yang kuat dan cekap, mempunyai alat kelengkapan yang cukup dan moden.

    Gambar fail: Seorang wanita yang bergelar isteri kepada seorang tentera harus sentiasa memahami bukan sahaja hati suami malah tugasnya. Wanita haruslah sentiasa bersedia, terutama dari segi emosi apabila suami dihantar bertugas di luar kawasan.

    Seseorang tentera juga bertanggungjawab untuk menjamin keadilan dan melakukan pelbagai perjuangan seperti memberi pembelaan, perlindungan dan pengawasan kepada individu yang teraniaya.

    Cabaran menjadi isteri kepada seorang tentera

    Sebagaimana dengan individu lain yang dilahirkan dengan hati, maka seorang tentera itu juga tidak terkecuali daripada menjalinkan hubungan percintaan, sekali gus mendirikan rumah tangga dan membina institusi keluarga.

    Hakikatnya banyak cabaran yang wajar harus dilalui oleh seorang isteri kepada seorang anggota tentera antaranya seperti bersedia untuk berjauhan dan wanita tersebut juga harus sentiasa menguatkan aspek mental dan fizikal serta meningkatkan kesabaran dalam diri.

    Adalah disarankan kepada wanita yang baru berumahtangga dengan anggota tentera adalah untuk berpindah ke kediaman rasmi tentera atau kem tentera.

    Perkara ini adalah bagi mengelakkan seorang isteri tersebut terpaksa berjauhan daripada suami.

    Dengan tinggal di kem tentera, membolehkan suami anda mudah untuk melapor diri untuk bertugas ke pejabat, bahkan dekat baginya untuk pulang ke rumah berbanding jika lokasi anda berdua dipisahkan antara daerah atau negeri, sebagaimana mengikut pepatah yang mengatakan, isteri patut ada di mana suami berada.

    Bagaimanapun, suka atau tidak, berjauhan akan sentiasa berada dalam kamus hidup wanita yang bergelar isteri kepada seorang tentera.

    Wanita tersebut haruslah sentiasa bersedia, terutama dari segi emosi apabila suami anda dihantar bertugas di luar kawasan. Fahami tugas suami anda dan berilah sokongan kepadanya.

    Memandangkan anda akan sering berjauhan dengan suami, anda harus ada kekuatan mental dan fizikal.

    Banyak tugasan yang sepatutnya dilakukan berdua dengan suami, terpaksa anda lakukan seorang. Inilah namanya pengorbanan. Dengan adanya Internet, setentunya anda mampu untuk mengatasi masalah kecil seperti membaiki kerosakan di rumah, membayar bil dan sebagainya.

    Komunikasi memang sangat penting. Walau sesibuk mana pun anda, pastikan mengambil berat akan perkembangan suami dan sebaliknya.

    Sekurang-kurangnya hubungi antara satu sama lain sekali sehari. Dan apabila ada peluang untuk meluangkan masa bersama, ambil masa itu untuk saling mendengar dan menyelami hati masing-masing.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda