Saturday, November 16, 2024
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fahmi bincang lesen media sosial dengan Menteri Singapura

    SINGAPURA, 29 JULAI – Menteri Komunikasi ,Fahmi Fadzil mengadakan mesyuarat dengan Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital Singapura Josephine Teo, hari ini memfokuskan kepada pelesenan platform media sosial.

    Perbincangan yang berlangsung selama satu jam di Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) bertujuan memastikan persekitaran internet yang selamat khususnya untuk seisi keluarga dan kanak-kanak.

    Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Sabtu lalu mengumumkan bahawa semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara itu, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi mulai 1 Ogos sebagai sebahagian daripada rangka kawal selia baharu yang akan diperkenalkan.

    Singapura mempunyai rangka kawal selia ke atas platform media sosial di negara itu sejak 2022.

    Fahmi diiringi delegasi Malaysia termasuk Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Khairul Nazran Abdul Rahman, serta para pegawai dari MCMC.

    Sebelum pertemuan itu, Fahmi dan delegasinya bertemu dengan para pegawai dari MDDI dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), sebuah badan berkanun yang membangun dan mengawal selia sektor infokom dan media di Singapura.

    Delegasi itu diberi taklimat mengenai Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian (POFMA) Singapura, Akta Jenayah Dalam Talian (OCHA) serta pengendalian krisis dan kecemasan seperti penyebaran maklumat palsu berkaitan keselamatan awam atau ancaman kesihatan.

    Semasa lawatan kerja itu, Fahmi juga dijadual bertemu pengendali platform media sosial bagi menangani isu berkaitan kandungan dalam talian termasuk penipuan, buli siber dan pornografi. – Bernama

    Fahmi Fadzil mengadakan mesyuarat dengan Josephine Teo dengan menumpu kepada pelesenan platform media sosial, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda