Monday, December 16, 2024
28.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fahrin Ahmad belum pernah terima penghargaan

    Sudah 22 tahun berkecimpung dalam industri hiburan, pelakon Fahrin Ahmad belum pernah merangkul sebarang anugerah mahupun pengiktirafan atas bakat lakonannya.

    Fahrin, 45, bagaimanapun berkata dia tidak pernah merasa kecewa sebaliknya menganggap rezeki masih belum berpihak pada dirinya.

    “Saya antara pelakon yang tidak pernah menang anugerah pun, paling tinggi Top 5. Tetapi pada saya itu tidak menjadi masalah.

    “Saya berkarya bukanlah untuk mengejar anugerah dan saya tak terkilan pun. Itu semua bergantung kepada rezeki masing-masing,” katanya kepada mStar.

    “Kita lihat kejayaan Susan di FFM33 baru-baru ini, di usia 62 tahun baru dia dapat merasa genggam anugerah. Jadi biar masa menentukan.

    “Sehebat mana pun kita membawa watak tetapi ia perlu dirangkumkan dengan naskhah serta produksi yang bagus untuk melayakkan kita bertanding dalam sesuatu anugerah, “ ujarnya apabila kejayaan aktres Susan Lankester meraih trofi Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33).

    Dalam pada itu, Fahrin mengakui anugerah bukanlah segalanya, namun dia bersyukur dirinya masih dianggap relevan dan rezeki tidak putus sehingga kini.

    “Tak bermakna kita tidak bagus kalau tak menang anugerah. Yang penting jujur dengan diri sendiri dan berikan yang terbaik.

    “Apa yang membuatkan saya puas selepas 22 tahun dalam industri, saya masih dapat tawaran dan orang masih mahu melihat lakonan saya,” kongsinya.

    Dalam perkembangan lain, Fahrin membintangi telefilem terbaharu berjudul Larian Terakhir yang bakal bersiaran pada 15 Disember depan. – Agensi

    Fahrin belum pernah merangkul sebarang anugerah atas bakat lakonannya. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda