BUDAPEST, 23 OGOS – Atlet Kenya, Faith Kipyegon mencipta kejayaan bersejarah selepas memenangi pingat emas ketiganya dalam acara 1500 meter (m) wanita di Kejohanan Dunia semalam.
Jaguh lompat tinggi Qatar, Mutaz Essa Barshim pula terlepas emas keempat namun muncul atlet lelaki pertama memenangi lima pingat pada acara itu.
Faith mempamerkan larian bertenaga untuk menambah satu lagi koleksi emas selepas memenangi acara itu pada 2017 dan 2022.
Bagi Faith, 29, kejayaan itu melengkapkan pencapaian gemilangnya selepas memecahkan tiga rekod dunia.
“Saya berkata kepada diri sendiri, ‘Awda adalah yang terkuat dan hanya perlu teruskan,” kata Faith.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P23-Lead-Faith_24082023.jpg)
“Saya mengejar sejarah hari ini dan mengejar gelaran. Saya berjaya melakukannya.”
Sementara itu, Barshim mendapat sokongan padu penonton pada percubaan ketiga dan terakhirnya pada ketinggian 2.36m namun gagal dan hanya berpuas hati dengan pingat gangsa menerusi catatan 2.33m manakala emas milik jaguh Itali, Gianmarco Tamberi (2.36m).
“Saya anggap gangsa ini sejarah,” kata Barshim kepada AFP.
“Dalam mana-mana pertandingan, sasaran kami ialah emas dan kemenangan. Tetapi inilah sukan.
“Dengan gangsa ini, saya muncul satu-satunya atlet dalam sejarah sukan lompat tinggi meraih lima pingat di kejohanan dunia dan saya sangat bangga dengan pencapaian ini.” – AFP