Sunday, June 30, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Faiz Helmi kembali perkuat Speedy Tiger

    KUALA LUMPUR, 26 JUN – Tonggak pertahanan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Faiz Helmi Jali dipanggil semula untuk memperkuatkan skuad hoki Malaysia yang beraksi di Siri Jelajah Perlawanan Antarabangsa Eropah pada 1 hingga 14 Julai ini.

    Ketua jurulatih hoki lelaki Malaysia, Sarjit Singh berkata pengalaman luas dimiliki pemain berusia 32 tahun itu ditagih bagi memantapkan kekuatan pasukan Malaysia khususnya di benteng pertahanan.

    “Selepas melalui dua kejohanan, barisan kejurulatihan berpendapat kami memerlukan khidmat pemain yang lebih berpengalaman untuk memberikan nilai tambah kepada pasukan dan Faiz Helmi Jali diberikan peluang untuk kembali.

    “Beliau telah menjalani sesi latihan selama dua minggu dan barisan kejurulatihan melihat kehadirannya mampu untuk membantu pasukan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini.

    Faiz Helmi yang mempunyai 215 penampilan dalam pasukan bermain kali terakhir untuk Speedy Tigers semasa kelayakan Olimpik Asia di Oman pada Januari, selain beliau sebelum ini tidak berada dalam radar skuad berwajah baharu Sarjit yang menumpukan usaha membina pasukan lebih muda untuk menyahut cabaran di Sukan Asia 2026 di Jepun.

    Sementara itu, Sarjit berkata siri jelajah berkenaan akan digunakan sebagai medan buat dirinya dan barisan kejurulatihan untuk menilai tahap prestasi pasukan terutamanya ketika beraksi dalam perlawanan berintensiti tinggi.

    “Barisan kejurulatihan juga berharap pasukan dapat memperbaiki kesilapan telah dikenal pasti pada dua kejohanan lalu dan setiap pemain perlu mengambil pengalaman pada aksi cukup berkualiti.

    “Mereka perlu memperbaiki diri sendiri bagi membantu pasukan dan belajar sebanyak mungkin daripada pasukan-pasukan handalan dunia ini,” katanya.

    Selain Faiz Helmi, penyerang muda Malaysia, Tengku Nasrul Ikmal Hakimie Tengku Abdul Rahim turut dipanggil semula selepas namanya tidak tersenarai dalam pasukan Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-negara (Nations Cup) baru-baru ini. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China pecat bekas menteri pertahanan

    BEIJING, 28 JUN - Bekas menteri pertahanan China, Li Shangfu telah dipecat daripada Parti Komunis yang memerintah kerana menyebabkan ‘kerosakan besar kepada puncanya’ melalui...