Faiz Jabba lancar lagu baharu

Selepas single Masa meraih sambutan memberangsangkan hingga hampir 1.5 juta tontonan di YouTube direkodkan, Fariz Jabba mempertaruhkan pula lagu baharu, Kalah.

Bekerjasama dengan penerbit dan penyanyi rap, Omar Kenobi, Fariz, 23, optimis Kalah bakal memburu kejayaan yang diraih Masa.

“Kalah akan menggantikan kejayaan itu. Mesej yang disampaikan sangat jelas iaitu Fariz Jabba dan Omar Kenobi tidak akan pernah kalah. Apatah lagi selepas melihat sambutan single Masa yang mematikan semua keraguan yang pernah wujud terhadap bakat nyanyian saya.

“Kalah menguatkan lagi pegangan artistik saya di mana paduan suara mantap digabungkan dengan keyakinan diri yang tinggi,” katanya kepada media.

Fariz berkata, dia dan Omar tidak berfikir dua kali mengenai apa yang dirasai ketika menulis lirik lagu Kalah.

Setelah mendapat sambutan yang memberangsangkan melalui single Masa, kini Fariz Jabba muncul dengan single baharu, Kalah yang bekerjasama dengan Omar Kenobi. – Agensi

“Jadi lirik yang kedengaran mengarut dan lucu dalam lagu ini adalah pemikiran saya yang paling jujur,” katanya.

Tambah penyanyi dari Singapura ini, Kalah berkait dengan keyakinan diri tidak diperoleh melainkan melalui cara artis menangani masalah ketika bekerja dan dalam kehidupan peribadi.

“Tidak kira berapa banyak masalah yang timbul, kekalahan bukan pilihan. Saya tidak akan menyerah kalah,” katanya.

Sementara itu, kongsi Omar yang juga penerbit lagu ini, Kalah dihasilkan di studio di rumahnya.

“Mencipta Kalah adalah salah satu momen menghiburkan bersama Fariz. Saya sangat teruja ketika mendapat tahu lagu ini bakal dilancarkan,” katanya.

Omar dan Fariz percaya lagu yang dicipta berdasarkan daya kreativiti dan ilmu artistik ini pasti mampu membuat pendengar merasai ketulusan mereka dalam berkarya. – Agensi