Kehebatan seorang Faizal Hussein memang tidak dapat disangkal menerusi persembahan lakonan dalam drama mahupun filem walaupun usianya sudah mencecah 57 tahun.
Pada umurnya sekarang, Faizal tetap menjadi pilihan produksi menjayakan naskhah genre aksi sehingga ramai tertanya-tanya amalan kekal bertenaga dan awet muda.
Memetik laporan mStar, tiada sebarang rahsia tertentu, Faizal memberitahu beliau tidak pernah menyertai mana-mana pusat kecergasan atau amalan diet sebagai persediaan sebelum memasuki set penggambaran.
Sebaliknya, sejak dahulu Faizal hanya mengamalkan satu jenis senaman iaitu mengangkat dumbbell sebanyak 150 ke 300 kali bagi satu set setiap hari.
Tidak hanya itu, Faizal juga akan mengambil protein penambah berat jika ada tawaran berlakon filem genre aksi.
“Kalau sesuatu projek diterima ada banyak babak aksi seperti berlawan dan berlari biasanya saya akan bersenam bagi memastikan stamina terjaga.
“Saya tak pernah ke gim tapi ada satu dumbell di rumah yang saya angkat beratus kali setiap hari. Tengok pada keadaan, saya boleh buat sampai 300 kali,” katanya kepada mStar.
Faizal berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada majlis tayangan perdana episod akhir W: Two Worlds di Kuala Lumpur pada Rabu.
Bercerita mengenai lakonannya dalam drama tersebut, Faizal puas dan seronok kerana sudah lama mengidam membawa dua watak iaitu Omar Yusof dan pembunuh tanpa wajah.
“Dalam siri ini saya bawa dua watak, satu sebagai seorang bapa yang lemah dan watak pembunuh. Ia memang yang saya idamkan.
“Saya tidak rasa sukar sebab saya sudah buat aksi lebih membahayakan sebelum ini. Apa yang ada dalam cerita ini ‘kacang’,” ujarnya. – Agensi