Faizal Tahir kecewa orang ramai berpusu-pusu beli makanan

Meskipun fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) baharu bermula Isnin, namun sudah ada segelintir masyarakat mula mengambil peluang keluar beramai-ramai di tempat awam pada Ahad lalu.

Ini selepas tular beberapa rakaman video di laman sosial memperlihatkan orang ramai mengabaikan kepentingan penjarakkan sosial.

Bengang dengan tindakan segelintir masyarakat itu, penyanyi Faizal Tahir menegur sikap tidak bertanggungjawab mereka dan meminta orang ramai bersabar bagi memastikan penularan wabak COVID-19 ini boleh dikawal.

“PKPB bermula 4 Mei (Isnin) tapi 3 Mei saya tengok dekat restoran berpusu-pusu orang pergi beli makanan… Allahuakbar takkan tak boleh tunggu sikit.”

Sebelum itu, Faizal berkongsi foto dan video memperlihatkan pelanggan di sebuah restoran dan kawasan medan selera berpusu-pusu membeli makanan tanpa mempedulikan mengenai penjarakan sosial.

Faizal Tahir menegur sikap segelintir masyarakat yang mengabaikan soal keselamatan sebelum PKPB. – Agensi

Video tersebut menjadi tular di laman sosial dan meengundang pelbagai reaksi daripada warganet.

Rata-ratanya meluahkan rasa kurang senang dengan sikap segelintir masyarakat yang tidak ambil peduli mengenai bahaya virus Covid-19 ini.

Sementara itu, Faizal berkata PKP yang dilaksanakan kerajaan hanyalah ujian kecil berbanding rakyat di negara lain yang berdepan peperangan sehinggakan terpaksa berkurung di rumah masing-masing dalam tempoh masa yang lama.

“Kalau kita boleh tahan sikit lagi, silap-silap kita boleh raya seperti biasa, saya faham duduk rumah lama stres, tapi bukan tak boleh keluar langsung, saya pasti dalam tempoh itu ada yang keluar beli barang dapur dan makanan.

“Saya harap yang keluar berpusu-pusu tu balik mandi jangan sentuh sesiapa, ia boleh jadi gelombang kedua atau silap-silap lockdown bertahun… betul-betul lockdown masuk kubur selamanya. Kalau sanggup, baiklah!,” ujarnya.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Ragaman ini meminta masyarakat menghargai penat lelah petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus membendung penularan wabak ini.

“Guys fikirlah frontliners, letih tau… yang mana tak tahu sabar ni patut jadi frontliner. Setiap hari orang kongsi dekat media sosial hargai frontliner tapi hakikatnya.

“Ini tanggungjawab kita bersama, saya tak mahu salahkan sesiapa 100 peratus, sebagai masyarakat semua kena ambil bahagian dan peranan, saya pun ambil kesalahan ini… mungkin saya tak cukup beri maklumat sebagai public figure tapi dalam masa sama anda kena bawa peranan ini juga!,” katanya. – Agensi