Saturday, March 15, 2025
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Faizal terjatuh dalam pembikinan video muzik

    Enggan dilabel syok sendiri, penyanyi, komposer dan penerbit, Faizal Tahir sentiasa memastikan setiap lagu yang dihasilkan harus diselitkan mesej yang baik.

    Katanya, itulah prinsip yang dipegangnya setiap kali menghasilkan lagu baharu. Bagi Faizal, dia mempunyai kelebihan dalam menyampaikan kebaikan atau dakwah kepada pengikut menerusi lagu.

    “Saya hanya ingin memperbaiki diri dan menyampaikan ilmu serta kebaikan dalam fasa sekarang. Insya Allah, saya akan meneruskan usaha dalam setiap lagu yang dihasilkan.

    “Paling penting, apa yang baik perlu dikongsi dengan harapan dapat menjadi inspirasi kepada orang lain dan bertindak balas dengan ilmu dikongsi.

    “Bagi saya, untuk menyampaikan kebaikan tidak memerlukan pengikut ramai. Walaupun cuma dua pengikut sekali pun, masih boleh berkongsi kebaikan dengan orang lain.

    Faizal Tahir mula berminat untuk memiliki kuda sendiri gara-gara video muzik Nobody. – Agensi

    “Jika boleh, saya mahu berkongsi ilmu dan membuka pintu kepada generasi muda dapat mengambil alih industri muzik dengan baik. Itu adalah salah satu bentuk sedekah dan apabila melakukan sesuatu yang baik, ia akan berterusan,” katanya kepada media ketika majlis pelancaran video muzik dan single terbaharunya berjudul Nobody, baru-baru ini.

    Berkongsi single Nobody, Faizal berkata, ia berkisar mengenai kasih sayang yang terhapus sebaik seseorang hamba Allah meninggal dunia. Hanya cinta kepada Allah kekal abadi untuk selamanya. Katanya, dia bersama pasukannya menggunakan judul Nobody untuk single ciptaan bersama Firdaus Rahmat, Mas Dewangga, Mage dan Mike Chan.

    “Saya suka bekerja dengan ramai komposer untuk mendapatkan idea berbeza, malah percaya setiap pendapat yang berbeza mampu menghasilkan satu karya bagus,” katanya.

    Mengulas pembikinan video muzik, Nobody, Faizal berkata, dia melalui detik mendebarkan apabila dilambung tiga kali oleh kuda yang ditunggang. Biarpun sedaya upaya cuba bertahan, namun terjatuh daripada ketinggian tujuh kaki. Katanya, dia tetap gigih meneruskan penggambaran biarpun dalam menahan kesakitan.

    “Saya hanya berehat seketika selepas terjatuh. Saya enggan buang masa kerana hanya ada sehari setengah untuk merakamkan babak menunggang kuda.” – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda