Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Negara Brunei Darussalam tidak ketinggalan bersama negara-negara ASEAN yang lain menyertai Festival Muzik ASEAN-Jepun ke-2 yang diadakan pada 4 Oktober nanti di Tokyo, Jepun.
Sehubungan dengan itu, Duta Besar Jepun ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Motohiko Kato semalam meraikan wakil negara, Fakhrul Razi pada majlis penghantaran di Kedutaan Jepun, Kampung Kiulap.
Festival muzik itu nanti akan memperingati ulang tahun persahabatan antara negara-negara ASEAN dan Jepun di mana ia dianjurkan oleh jawatankuasa festival dengan kerjasama Pusat Yayasan Asia Jepun sekali gus meningkatkan hubungan kerjasama istimewa tersebut.

Ia akan menyaksikan 10 penyanyi terkenal dari negara-negara ASEAN antaranya Siti Nurhaliza dari Malaysia, Taufik Batisah dari Singapura dan lain-lain.
Semasa berada di Jepun nanti, Fakhrul Razi akan mengongsikan pengalaman beliau melalui media sosial yang mana beliau mempunyai 1.2 juta pengikut.
Tahun ini merupakan ulang tahun ASEAN-Jepun ke-45 kerjasama yang telah bermula sejak tahun 1973 dengan penubuhan forum ASEAN-Jepun mengenai getah sintetik.