KUALA LUMPUR – Selama beberapa dekad, telah menjadi kebenaran yang diterima bahawa orang Asia lebih pendek daripada orang Amerika dan Eropah.
Tetapi pada 2016, satu kajian menghasilkan pangkalan data ketinggian global dan menunjukkan bagaimana populasi dunia telah menjadi tinggi pada abad yang lalu.
Menariknya, negara-negara mempunyai kadar pertumbuhan yang berbeza, membuktikan bahawa genetik bukanlah faktor tunggal yang menentukan ketinggian.
Diterbitkan dalam jurnal eLife, kajian itu diselaraskan oleh penyelidik-penyelidik dari Imperial College London di Britain, mengukur ketinggian lelaki dan wanita dari negara-negara berbeza sejak 1914 dengan data dikumpulkan daripada 18.6 juta orang.
Ia mendapati bahawa, antara lain, orang di Jepun telah menjadi tinggi dengan pantas, lebih cepat daripada negara-negara lain di Asia.




Pada tahun 1950-an, sebagai contoh, ketinggian purata lelaki Jepun ialah 1.5 meter (m) dan wanita, 1.49m. Tetapi menjelang 2021, ia meningkat kepada 1.72m untuk lelaki dan 1.58m untuk wanita.
Ini antara lain disebabkan negara itu mengambil berat tentang pemakanan, dengan piawaian pengambilan pemakanan dan piawaian pengurusan keselamatan makanan untuk diet di sekolah.
Pakar endokrinologi pediatrik, Dr Azriyanti Anuar Zaini berkata, sejak 100 tahun lalu, purata ketinggian rakyat Malaysia meningkat hanya 10 sentimeter (cm) dan jika trend itu berterusan, kanak-kanak Malaysia tidak akan membesar menjadi orang dewasa yang tinggi.
Menjadi tinggi bukan hanya tentang ketinggian. Ketua penyelidik kajian pada 2016 itu, Majid Ezzati berkata, menjadi lebih tinggi dikaitkan dengan jangka hayat yang lebih lama, risiko kematian pramatang yang lebih rendah dan risiko kematian lebih rendah akibat penyakit kardiovaskular.
“Oleh itu, kita perlu memperkasakan ibu bapa untuk membuat keputusan termaklum mengenai pemakanan anak-anak mereka,” kata Dr Azriyanti.
MERAWAT MASALAH BANTUT
Menjadi tinggi bermula daripada zaman kanak-kanak dan ini bermakna melaksanakan campur tangan yang berkesan untuk bantut – atau terlalu pendek untuk usia seseorang – yang pada masa ini menjejaskan kira-kira 30 peratus kanak-kanak Malaysia berumur antara sifar dan lima tahun.
Beberapa kes, kata Dr Azriyanti, dirujuk kepadanya terlalu lambat.
“Saya mempunyai seorang pesakit lelaki yang datang kepada saya ketika berusia 17 tahun, dengan ketinggian hanya 151cm. Dia sudah pun menghampiri penghujung akil baligh dan tiada apa yang boleh saya lakukan untuk membantunya menjadi lebih tinggi,” katanya.
Pesakit paling pendek yang dirujuk kepadanya ialah 144cm, juga pada usia 17 tahun.
“Ibu bapa harus mendapatkan pendapat perubatan awal jika mereka rasa anak mereka pendek untuk umurnya, atau jika dia adalah yang paling pendek dalam kelas,” katanya.
“Jika pesakit datang awal, sekitar enam hingga lapan tahun, maka kami boleh memetakan sesuatu dan hasilnya akan lebih baik,” katanya, sambil menambah bahawa dia juga mempunyai pesakit wanita yang, pada usia 12 tahun, mempunyai ketinggan 131cm dan paling pendek dalam kelasnya.
“Kesedaran (tentang bantut) kini lebih baik, tetapi sesetengah ibu bapa masih keberatan untuk membawa anak mereka berjumpa doktor, memikirkan bahawa anak itu akhirnya akan menjadi tinggi.”
Dr Azriyanti berkata, antara umur sifar dan lima tahun, tumbesaran kanak-kanak adalah mengenai pemakanan.
“Selepas itu, ibu bapa mungkin ingin memeriksa tiroid atau hormon pertumbuhan dan semasa akil baligh, hormon seperti testosteron dan estrogen memainkan peranan untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan,” katanya.
Beliau menambah, lima tahun pertama kehidupan kanak-kanak di Malaysia dipantau melalui rekod vaksinasi, tetapi selepas itu, pemantauan pertumbuhan mereka ‘keluar dari radar,’ jadi ibu bapa perlu terus memantau pertumbuhan dan mendapatkan nasihat perubatan jika mereka bimbang tentang ketinggian anak mereka.
“Bandingkan ketinggian anak awda dengan rakan-rakan sekelasnya dan bawa mereka (berjumpa doktor) jika awda bimbang. Percayalah naluri awda dan semak rujukan standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai ketinggian dan berat kanak-kanak dan ban-dingkan bacaan dengan anak awda.
“Jika anak awda berada dalam lingkungan berat yang ideal, kekalkannya jika tidak ketinggiannya akan goyah,” katanya.
MENCAPAI PERTUMBUHAN OPTIMUM
Tiga faktor iaitu pemakanan, senaman dan tidur, memainkan peranan dalam pertumbuhan kanak-kanak, kata Dr Azriyanti.
“Ini adalah faktor yang boleh diubah suai yang mempengaruhi pertumbuhan yang boleh diubah oleh ibu bapa.
“Adalah penting bagi seorang kanak-kanak untuk mempunyai waktu tidur yang tetap kerana semasa tidur hormon pertumbuhan dikeluarkan. Jika kanak-kanak tidur lama, itu bermakna dia mengalami lonjakan hormon pertumbuhan berganda yang penting untuk pertumbuhan,“ tambahnya.
“Senaman adalah satu lagi faktor penting untuk pertumbuhan. Ia membantu kanak-kanak tidur lebih lena pada waktu malam dan menggandakan puncak lonjakan hormon.”
Bertentangan dengan kepercayaan tradisional, berayun pada palang monyet tidak menjadikan kanak-kanak lebih tinggi. “Tetapi latihan graviti seperti berlari, berjalan atau lompat tali mungkin membantu,“ katanya.
Apabila bercakap tentang pemakanan, makan dengan betul adalah sama pentingnya dengan makan secara teratur. Beliau menyarankan ibu bapa mengambil serius tentang makanan.
“Daripada memberi makan anak ketika dia bermain, ibu bapa perlu mendidik mereka untuk duduk di meja makan dan makan bersama keluarga. Apabila kanak-kanak makan sambil mata terpaku pada skrin, dia tidak berhati-hati untuk makan,” katanya.
“Memberi makanan kepada kanak-kanak dengan protein yang mencukupi daripada sumber haiwan dan tumbuhan juga membantu kanak-kanak membesar. Pastikan nisbah protein kepada karbohidrat adalah bersekadar,” tambahnya.
Pengurus pemakanan global Danone, Dr Yvonne Yee Siang Tee berkata, adalah penting untuk melatih semula kanak-kanak yang pemilih makanan, untuk meningkatkan kepelbagaian makanan yang dimakan.
“Paling penting, ibu bapa harus menjadi contoh yang baik kerana anak-anak meniru apa yang mereka lihat.
“Ibu bapa juga harus menggalakkan anak-anak terlibat dengan makanan dan tidak membuat kecoh jika anak-anak mengacaukan meja makan. Fokus pada matlamat jangka panjang, iaitu memperkenalkan kanak-kanak kepada pelbagai makanan,” katanya.
“Pada penghujung hari, kita semua perlu kembali kepada pemakanan asas dengan makanan seimbang dan pelbagai di atas pinggan,” katanya.
“Dan apabila bercakap tentang pertumbuhan kanak-kanak, ibu bapa harus tahu bahawa gen memainkan peranan, tetapi pemakanan memainkan peranan yang lebih besar,” Dr Azriyanti menyimpulkan. – ANN/The Star

