KOTA KINABALU, 28 MAC – Fenomena ribuan ubur-ubur terdampar di pesisir pantai Kampung Jangkit dekat Kuala Penyu, semalam yang tular di media sosial, berkait rapat dengan faktor peningkatan suhu air laut serta pasang dan surut air yang mendadak, kata Pengarah Jabatan Perikanan Sabah Azhar Kassim.
Beliau berkata kepadatan luar biasa populasi ubur-ubur, berlaku disebabkan peningkatkan kadar pembiakannya susulan peningkatan suhu laut, sementara faktor pasang dan surut air yang mendadak menyebabkan haiwan itu terperangkap dan terdampar di tepi pantai.
“Kejadian itu juga berkait rapat dengan kewujudan sumber makanan zooplankton, krustasia kecil dan anak ikan di laut.
“Jabatan Perikanan Sabah telah menghantar anggota dari pejabat Kuala Penyu ke kawasan kejadian, untuk memantau dan menyiasat damparan ubur-ubur yang begitu luar biasa dan padat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azhar berkata pihaknya mengenal pasti jenis ubur-ubur yang terdampar kira-kira tiga kilometer di pesisir pantai itu sebagai tomato jellyfish atau nama saintifiknya Lobonemoides robustus dan ia bukan jenis berbisa atau merbahaya, namun boleh memberi kesan gatal di badan sekiranya tersentuh kulit.
Beliau berkata orang ramai tidak perlu terlalu risau, kerana ubur-ubur itu mudah mati dan hancur serta hanya mengakibatkan bau tidak selesa, namun ia akan cepat hilang dalam sehari atau dua hari.
Azhar berkata orang ramai diminta untuk mengelakkan mandi di kawasan perairan dengan populasi ubur-ubur yang tinggi. – Bernama