Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Falcao selamatkan Monaco

    PARIS, 17 Jan – Radamel Falcao menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan untuk memberikan Monaco keputusan seri 2-2 dengan Nice yang mendapat sentuhan Mario Balotelli.

    Bagaimananapun Marseille berjaya memintas pasukan juara Ligue 1 itu ke tangga kedua selepas menewaskan Strasbourg.

    Monaco mendahului pada separuh masa pertama di Stade Louis II menerusi Adama Diakhaby, namun Balotelli menyamakan kedudukan dalam tempoh kurang daripada dua minit seawal separuh masa kedua.

    Bintang Itali itu menjaringkan gol keduanya pada minit ke-68 namun Falcao yang baru pulih daripada kecederaan berjaya meledak gol penyamaan pada minit kedua masa tambahan.

    Satu mata itu melebarkan aksi Nice tanpa kekalahan kepada tujuh perlawanan manakala Monaco yang dikendalikan Leonardo Jardim akan tersingkir dari tiga kedudukan teratas untuk Liga Juara-Juara jika Lyon menewaskan Guingamp awal pagi esok.

    Falcao (dua kiri) meraikan jaringan selepas berjaya membolosi gawang pasukan lawan semasa perlawanan bola sepak L1 Perancis, menentang Nice di Stadium Louis II di Monaco, kelmarin. Falcao menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan untuk memberikan Monaco keputusan seri 2-2 dengan Nice yang mendapat sentuhan Mario Balotelli. – AFP

    Kemenangan ketiga berturut-turut Marseille meletakkan mereka di tangga kedua, ketinggalan sembilan mata berbanding pendahulu Paris Saint-Germain dan satu mendahului Monaco, dengan Nice kekal di tangga keenam.

    Pasukan lawan ternyata hebat pada awal perlawanan biarpun tidak mencipta peluang mudah apabila sepakan jauh Balotelli melencong jauh dan percubaan Pierre-Lees Melou terus menuju ke penjaga gol Danijel Subasic.

    Bagaimanapun Monaco berada di depan pada minit ke-33 apabila Diakhaby memanfaatkan peluangnya untuk gol keduanya daripada tiga perlawanan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda