KUALA LUMPUR, 2 JAN – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meneruskan penstrukturan semula untuk revolusi skuad Harimau Malaya dengan melantik seorang lagi pakar dari luar negara.
Terkini, FAM mengumumkan saintis sukan dari Australia, Dr Craig Duncan, yang mempunyai pengalaman luas dan kepakaran dalam prestasi manusia sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan Pasukan Kebangsaan bermula bulan ini.
FAM menerusi kenyataan memaklumkan Duncan akan bertanggungjawab dalam mengetuai hal-hal berkaitan prestasi tinggi, kecergasan fizikal, pemulihan dan sains sukan, pemakanan dan psikologi sukan serta pembangunan kakitangan.
“Sebagai seorang daripada saintis sukan terkemuka Australia, pendekatan Craig yang inovatif dan holistik terhadap pengurusan pemain telah membolehkan pasukan berprestasi tinggi memaksimumkan prestasi dan menurunkan kadar kecederaan dalam atlet profesional mereka,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Duncan mempunyai visi untuk mewujudkan rangka kerja bertaraf dunia dalam sains dan perubatan sukan bagi membolehkan pasukan senior, junior dan wanita negara mencapai kejayaan berterusan sambil memupuk budaya prestasi tinggi di semua peringkat di Malaysia.
“Beliau mempunyai misi untuk mengintegrasikan amalan sains sukan dan perubatan termaju merentas semua pasukan kebangsaan dan liga bola sepak Malaysia, meningkatkan prestasi pemain, pemulihan dan daya tahan melalui protokol piawai, program pendidikan dan teknologi termaju.
“Dengan semua perancangan ini, diharap ia mampu menyediakan pasukan kebangsaan kita dengan tahap kesediaan fizikal dan taktikal terbaik, selain aspek berkaitan prestasi tinggi menjadi keutamaan dalam bola sepak Malaysia,” menurut FAM.
Terdahulu, FAM mengumumkan seorang lagi warga Australia, Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan dan menamakan Rob Friend dari Kanada sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) skuad Harimau Malaya Selasa lalu. – Bernama