Wednesday, October 30, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    FAM perlu cari pengganti Pan Gon

    IPOH, 17 JULAI – Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu mencari jurulatih lebih berkualiti atau setanding dengan prestasi dipamerkan bekas ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon sepanjang hampir tiga tahun mengemudi pasukan kebangsaan.

    Bekas Naib Presiden FAM, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata indikator itu perlu bagi memastikan prestasi Harimau Malaya yang kini berada di kedudukan ke-135 dunia terus konsisten khususnya menjelang saingan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 pada Mac tahun depan.

    “Buat masa ini kita boleh melihat prestasi dipamerkan skuad kebangsaan berada pada tahap yang baik di bawah kendalian Pan Gon.

    Jadi, untuk pastikan prestasi ini terus kekal, pengambilan jurulatih berprofil tinggi dan berpengalaman perlu menjadi keutamaan.

    “Pelantikan ini juga harus dibuat secepat mungkin kerana pusingan kelayakan Piala Asia 2027 akan berlangsung Mac depan.

    Ditambah, memilih dan mengenal pasti pemain berkualiti untuk mewakili negara juga memerlukan masa,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Terdahulu, Pan Gon yang berasal dari Korea Selatan melepaskan jawatannya berkuat kuasa serta-merta selepas dua tahun mengemudi skuad negara iaitu sejak 2022 hingga Julai 2024.

    Di bawah kendalian Pan Gon kejayaan terbesar dicapai adalah apabila berjaya membawa Malaysia ke pentas Piala Asia 2024 selepas kali terakhir layak ke kejohanan berprestij itu 43 tahun lepas. – Bernama

    Pan Gon semasa perlawanan Kumpulan D pusingan kedua bagi Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027, Malaysia menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11 Jun. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda