PETALING JAYA, 31 DIS – Komitmen dan sumbangan pemain naturalisasi dan pemain berdarah kacukan dalam peningkatan prestasi pasukan bola sepak Malaysia di pentas antarabangsa, menepati jangkaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Timbalan Presidennya Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, badan induk bola sepak Malaysia itu berpuas hati dengan kesungguhan mereka, serta impak positif yang dibawa ke dalam skuad kebangsaan Malaysia yang kini berada di landasan terbaik melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023.
Beliau berkata, sebagai contoh pemain naturalisasi pertama negara Malaysia Mohamadou Sumareh, telah menggalas tanggungjawab dan kepercayaan yang telah diberikan kepadanya dengan baik, sejak membuat penampilan pertama bersama skuad Harimau Malaya, pada Oktober 2018.
“Setakat ini kita (FAM) berpuas hati, untuk pemain naturalisasi kita baru ada Sumareh seorang dalam pasukan, memang kita nampak komitmen beliau amat tinggi untuk pasukan negara dan kita harap pemain naturalisasi selepas ini pun ada semangat yang sama,” katanya kepada Bernama.
Sumareh memiliki rekod baik dalam 19 penampilan bersama skuad kebangsaan setakat ini dan berjaya meledak enam gol, dengan tiga daripadanya dijaringkan dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023. – Bernama