Fam tunggu pengesahan New Zealand

PETALING JAYA, 9 MAC – New Zealand dijangka menjadi satu-satunya pasukan yang akan menguji tahap prestasi skuad Harimau Malaya pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), bulan ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata perbincangan mengenai perlawanan alternatif kepada penangguhan aksi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu telah memasuki fasa akhir.

Menurut Mohd Yusoff, New Zealand yang menduduki ranking ke-122 dunia itu satu-satunya negara yang memberikan reaksi positif walaupun ketika ini dunia sedang diancam penularan wabak COVID-19.

“Pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA bulan ini kita tetap akan ada panggilan ke kem latihan pusat skuad kebangsaan dan kita telah berhubung dengan beberapa negara termasuk Filipina, Singapura dan India tetapi semuanya tidak dapat menyertai. Dengan pasukan New Zealand harapan itu cerah sedikit kerana reaksi diberikan positif cuma mereka belum beri jawapan secara tepat. FAM tetap berharap dapat mencari satu perlawanan buat pasukan kebangsaan bulan ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM di Kelana Jaya, di sini hari ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata sesetengah badan induk bola sepak di dunia melabel Malaysia sebagai kawasan ‘panas’ COVID-19 sekali gus menyukarkan FAM dalam usaha memuktamadkan pasukan yang akan menguji skuad Harimau Malaya. – Bernama