Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    FAMA lonjak pasaran produk kerepek OKU

    Oleh Wan Asmanizan Wan Ahmad Najib

     

    BUKIT MERTAJAM – Rungutan para peniaga mengenai kesukaran memasarkan produk memang kerap kita dengar, namun tidak bagi golongan pengusaha yang mendapat bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

    Penyelaras Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Kuala Juru di sini, Fauziah Mustafa, 41, berkata urusan pemasaran lebih mudah sejak PDK berkenaan mendapat khidmat nasihat dan bantuan FAMA.

    PDK Kuala Juru melalui My Fatin Enterprise (My Fatin) yang mengusahakan pelbagai kerepek di bawah jenama Lazia, kini mampu menambah pengeluaran sekali gus menjamin pendapatan para pelatih yang terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU) yang terlibat mengusahakannya. Antara produk Lazia ialah kerepek gunting, kerepek bawang, buah rotan, mini karipap dan mini rempeyek.

    “FAMA banyak membantu dalam pelbagai aspek termasuk analisis produk, menyediakan acuan dan cetakan pembungkusan produk kerepek, dengan itu memudahkan kerepek Lazia dipasarkan di beberapa buah rangkaian Agrobazaar FAMA terutamanya di Seberang Perai,” katanya kepada Bernama yang mengunjungi PDK itu baru-baru ini.

    Selain khidmat nasihat pemasaran, FAMA menyediakan kursus peruncitan dan pemasaran, Usahawan Agrobazaar Online dan menganjurkan pelbagai bazar di tempat berbeza serta pasar tani bagi memberi peluang dan ruang untuk pengusaha memasarkan produk.

    FAMA banyak membantu dalam pelbagai aspek termasuk analisis produk, menyediakan acuan dan cetakan pembungkusan produk kerepek. – Gambar hiasan

    Agrobazaar Online adalah satu program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dimiliki oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (MOA) dan diuruskan oleh FAMA.

    Berdaya maju

    Antara program promosi dan pemasaran FAMA yang pernah disertai PDK berkenaan adalah Karnival Industri Asas Tani Wilayah Utara 2016, Agrobazaar Aidilfitri@Sunway Carnival Mall 2017 dan Program MyBestBuy di pasar tani berdekatan.

    “Dengan bantuan pemasaran dan nasihat FAMA, kami berharap lambat laun akan dapat menambah pengeluaran dan meluaskan jenama Lazia ke kawasan lain di seluruh negara.

    “Selain stok berterusan di rangkaian Agrobazaar, kami mendapat tempahan daripada orang ramai terutamanya pada bulan puasa dan musim perayaan seperti hari raya,” kata Fauziah.  Lazia yang bermula dengan hanya kerepek gunting, pada peringkat awal dijual secara kecil-kecilan. Namun, pengeluaran ditambah setelah penubuhan My Fatin pada 2016. Namun, berikutan tunjuk ajar FAMA, mampu mencatat jualan kira-kira  RM27,000 pada tahun lepas, peningkatan ketara berbanding RM15,000 pada 2016. Yakin mampu terus berdaya maju, Fauziah berkata, banyak kelebihan dinikmati terutamanya setelah My Fatin disenaraikan di bawah Industri Asas Tani (IAT) FAMA.

    Projek ‘main-main’

    Mencerita lanjut mengenai perusahaan kerepek Lazia, Fauziah berkata, segalanya bermula dengan hanya projek ‘main-main’ membuat kerepek gunting kerana mahu OKU di bawah program pemulihannya mempelajari sesuatu.

    “Mereka buat kerepek dan bawa balik ke rumah. Keluarga masing-masing bukan sahaja puji malah bangga dengan kemampuan mereka ini. Kami mula menjual secara kecil-kecilan.

    “Lama kelamaan My Fatin ditubuhkan dan seterusnya kami mempelbagaikan pengeluaran,” jelas beliau sambil mengakui bahawa tanpa FAMA, beliau tidak pernah tahu mengenai keperluan sijil-sijil Halal dan Skim Pensijilan ‘Makanan Selamat Tanggungjawab Industri’ (MeSTI).

    Fauziah, yang juga guru penyelaras program pemulihan OKU di sini mengakui bahawa menguruskan PDK bukanlah mudah tetapi beliau ingin membuktikan kemampuan golongan istimewa ini.

    Beliau yang berkelulusan Diploma Pendidikan Khas dari Open University Malaysia (OUM) kini dibantu oleh 15 pelatih OKU berusia antara 19 tahun hingga 41 tahun yang sebelum ini menyertai program pemulihan di PDK berkenaan.

    FAMA mewujudkan rangkaian kedai K-Shoppe sebagai platform alternatif bagi usahawan asas tani tempatan untuk memasarkan produk keluaran mereka. – Bernama

    Ikut kecenderungan

    Fauziah yang telah beberapa kali menghadiri pelbagai latihan kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhasrat terus membantu bukan sahaja golongan OKU malah masyarakat sekitar yang memerlukan pekerjaan melalui perusahaan kerepek.

    Ternyata, kegigihan Fauziah mendidik golongan OKU yang terdiri daripada pelbagai kategori kecacatan telah menampakkan kejayaan dalam membentuk mereka menjadi usahawan kecil IAT.

    “Di sini, kami beri latihan kepada mereka berdasarkan kebolehan serta kecenderungan masing-masing. Ada yang gemar menggoreng, ada pula suka membancuh tepung atau membungkus dan sebagainya,” kata Fauziah. Sementara itu, Pengarah FAMA Pulau Pinang Habibah Sulaiman yang turut berada di lokasi berpuas hati dengan hasil produk PDK itu.

    “FAMA bangga dengan pencapaian PDK ini dan akan terus membantu menaik taraf produk jenama Lazia untuk tujuan pemasaran contohnya dari segi pelabelan dan pembungkusan yang lebih kemas dan mengikut standard pasaran,” kata beliau.

    Kedaik-Shoppe

    Selesai lawatan PDK di Juru, Bernama berkesempatan menjengah kedai Agrobazaar K-Shoppe ZBY Cekal Niaga di Kepala Batas, yang juga outlet utama pasaran produk Lazia, antara ratusan produk usahawan IAT yang dipasarkan di K-Shoppe milik Zakiah Yaakub.

    FAMA mewujudkan rangkaian kedai K-Shoppe sebagai platform alternatif bagi usahawan asas tani tempatan untuk memasarkan produk keluaran mereka.

    “Saya mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan K-Shoppe secara sepenuh masa selepas berhenti kerja dalam bidang perbankan.

    “FAMA banyak memberi tunjuk ajar dalam perniagaan dan selepas lima tahun, saya gembira dapat membantu lebih 330 usahawan asas tani termasuk dari PDK Kuala Juru,” jelas Zakiah.

    Selain produk IAT makanan, minuman, pes, produk sejuk beku, K-Shoppe turut menyediakan sudut herba serta memasarkan produk Agromas dengan jumlah keseluruhan sebanyak 1,181 sku (Stock Keeping Unit).

    “K-Shoppe Cekal Niaga ini antara yang paling berjaya di Pulau Pinang dan kita menyasarkan sekurang-kurangnya satu kedai K-Shoppe baru setiap tahun,” kata pegawai FAMA Daerah Seberang Perai Utara Hamzah Abdul Matheen yang turut hadir semasa lawatan itu.

    Setakad ini terdapat 18 buah kedai Agrobazaar K-Shoppe di Pulau Pinang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda