Tuesday, April 22, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    FAMA promosi Tarap, Bambangan di Singapura

    TAWAU, 25 OGOS – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan mempromosi secara meluas dua jenis buah eksotik iaitu Bambangan serta Tarap yang menjadi ‘signature’ Sabah itu ke Singapura.

    Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Zainal Yang Razali berkata kedua-dua buah itu mempunyai potensi untuk dieksport kerana mendapat permintaan tinggi daripada penggemar buah Bambangan serta Tarap berkenaan.

    “Saya berbangga buah Tarap dan Bambangan ini menjadi pilihan apabila dibawa ke Bukit Mertajam bulan Julai lepas dari Sabah, dan akan dipromosi di Singapura dan sebelum itu pada bulan depan ini kita akan promosi di pasar tani di Putrajaya,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Daerah Tawau yang disempurnakan Pembantu Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jimmy Wong di sini, hari ini.

    Menurut Zainal, FAMA komited melaksanakan promosi buah-buahan tempatan melalui penganjuran pelbagai program yang memberi manfaat secara langsung kepada semua pihak. “Seperti program JTDL ini kita akan tingkatkan dan sasaran tiga atau empat kali setahun kerana ini dapat meningkatkan penggunaan buah dalam kalangan penduduk,” katanya.

    Menurutnya, program JTDL itu juga memberi peluang kepada petani menjual secara terus dari ladang yang boleh meningkatkan pendapatan jualan mereka sekaligus memberi harga berpatutan kepada pengguna. Zainal berkata, sehingga 30 Jun tahun ini sebanyak 313 pelaksanaan JTDL di outlet serta program anjuran FAMA telah diadakan membabitkan 503 peserta dengan jualan melebihi RM2.2 juta. – Bernama

    Penjual buah Jalinah Jukin, 58, menunjukkan buah tarap sambil menunggu pelanggan di gerai jualannya di Kampung Rangalau Kiulu. FAMA akan mempromosi secara meluas Tarap dan Bambangan yang bakal menjadi signature Sabah ke Singapura. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda