GEORGE TOWN, 23 JULAI – Peluang untuk pasukan bola sepak Pulau Pinang untuk bermain di Liga Super musim depan masih terbuka selepas Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) bercadang untuk mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan terhadap keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Presiden FAP Dr Amar Pritpal Abdullah hari ini berkata beliau berasa sangat kecewa dengan keputusan FIFA yang memotong enam mata daripada pasukan disebabkan kesilapan yang dilakukan oleh pengurusan lepas. Katanya, pengurusan FAP yang baharu ini sanggup membayar caj penalti walaupun berganda daripada tuntutan wang asal sekiranya keputusan pemotongan enam mata daripada pasukan negeri ini dapat ditarik balik oleh FIFA.
“Kami akan membuat rayuan kepada CAS terhadap keputusan FIFA yang dilihat begitu keras kepada pasukan Pulau Pinang yang baru berjaya menempuhi segala rintangan untuk layak ke Liga Super musim depan,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini. – Bernama