Tuesday, March 18, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    FAP lantik Dimitrov rayu keputusan FIFA

    GEORGE TOWN, 2 OGOS – Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) telah melantik seorang peguam sukan berpengalaman Vassil Dimitrov bagi mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

    Presiden FAP Dr Amar Pritpal Abdullah berkata FAP berkerjasama dengan Dimitrov dalam usaha untuk menyiapkan proses dokumentasi sebelum rayuan dijangka akan dikemuka secara rasmi kepada pihak CAS pada minggu hadapan.

    “Pelantikan peguam Dimitrov yang berbangsa Bulgaria atas sebab pengalaman beliau dalam mengendalikan kes-kes sedemikian dan surat rayuan yang disiapkan peguam juga akan diteliti oleh pihak FAP sebelum diserahkan kepada CAS,” katanya selepas Majlis Makan Malam Apresiasi FAP yang dirasmikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow malam tadi.

    Tambahnya, Chow juga menyokong keputusan FAP untuk mengemukakan rayuan ke atas keputusan FIFA yang memotong enam mata daripada pasukan negeri.

    Bulan lepas, FAP dikenakan pemotongan enam mata oleh FIFA ekoran gagal mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FIFA untuk menjelaskan tuntutan rasmi bekas pertahanan import dari Brazil, Reinaldo Lobo.

    Dr Amar berkata kos rayuan dijangka akan mencecah hampir RM47,000 tetapi ia penting demi untuk menyelamatkan maruah pasukan bola sepak negeri.

    “Selepas pelbagai usaha yang dilakukan…saya berharap CAS akan meneliti rayuan kami dan memberikan satu keputusan yang adil,” katanya.Pada 25 Mac lalu, FIFA telah menghantar surat mengarahkan FAP membayar AS$90,000 bersama faedah lima peratus kepada Lobo.

    FIFA juga mengenakan denda tambahan AS$10,000 kerana kegagalan FAP membuat bayaran seperti yang diarahkan Kamar Penyelesaian Pertelingkahan Kebangsaan (NDRC). – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda