Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Farah Lee syukur dihadirkan suami tepat masanya

    Personaliti media sosial Malaysia, Farah Lee menyifatkan kehadiran suami iaitu Fuad Hashim tepat pada masanya ketika beliau sudah bersedia kembali bergelar isteri selepas tujuh tahun memegang gelaran ibu tunggal.

    Memetik laporan mStar, Farah atau Nurfarahin Romli, 31, bagaimanapun berkata, perkenalan di antara mereka berlaku dalam tempoh singkat malah tidak sempat bercinta sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.

    Jelasnya, beliau bukan individu yang pandai bermain cinta malah selepas kegagalan rumah tangga pertama sebelum ini beliau tidak pernah menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki.

    “Gambar selfie bersama buat pertama kali, itu pun selepas lima hari bernikah. Kami tidak sempat bercinta dan tidak pernah keluar dating melainkan keluar makan malam dua kali.

    “Orang yang kenal saya memang tahu saya ini jenis awkward nak bercinta kerana tidak bersedia.

    “Fuad datang masa saya sudah bersedia. Dia pun bersedia dan serius (untuk berkahwin). Jadi selepas taaruf baru saya setuju meneruskan perkahwinan ini,” katanya.

    Farah berkongsi mengenai perkara itu menerusi beberapa hantaran di Instastory miliknya.

    Tanpa berselindung, Farah memberitahu keserasian di antara mereka masih belum ada namun ia boleh dipupuk secara perlahan-lahan.

    Malah kata Farah, rasa sayang terhadap Fuad juga semakin bertambah selepas mereka mendirikan rumah tangga dan bersyukur dikurniakan seorang suami yang tepat buatnya.

    “Kami jarang berhubung (sebelum kahwin) tetapi yang saya tahu kami memang serasi. Keserasian itu boleh wujud dari masa ke semasa sebab yang pegang setiap hati adalah Allah,” katanya.

    “Kami berdua macam tak sangka dah berkahwin. Ia bermula dengan usikan kawan-kawan dan Fuad yang pemalu itu tiba-tiba meluahkan perasaan.

    “Alhamdulillah semuanya berlaku dengan pantas dan lepas kahwin baru saya macam mula sayang dekat Fuad. Saya bersyukur sangat Allah aturkan semua ini,” kongsinya.

    Pada 5 Januari lalu, Farah memaklumkan beliau kini sudah kembali bergelar isteri selepas tujuh tahun bergelar ibu tunggal.

    Untuk rekod, sebelum ini Farah mendirikan rumah tangga dengan pengacara Ally Iskandar pada 20 Januari 2012 namun bercerai pada 17 Ogos 2016.

    Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Maream Esaabel yang kini berusia 9 tahun. – Agensi

    Farah Lee menyifatkan kehadiran Fuad tepat pada waktunya. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda