SELEPAS bergandingan dengan beberapa hero drama popular seperti Zul Ariffin, Syafiq Kyle dan Fikry Ibrahim, pelakon Farah Nabilah menyatakan hasrat untuk berlakon bersama aktor sensasi Remy Ishak.
Farah atau nama sebenarnya Farah Nabilah Saipuddin, 27, berkata dia melihat personaliti dan fizikal Remy sesuai menjadi heronya dalam drama.
“Zul Ariffin, Syafiq Kyle dan Fikri, saya dah cuba bergandingan, bagi saya setiap pelakon lelaki tu berbeza.
“Selepas ini kalau diberi peluang, saya nak bekerjasama dengan Remy Ishak. Saya lebih selesa bergandingan dengan pelakon lelaki yang tinggi.
“Jadi, Remy antara pelakon lelaki yang mempunyai ciri-ciri itu sesuai menjadi hero saya dalam drama selain bakat lakonannya yang hebat,” kata Farah kepada media.
Farah ditemui ketika acara Char-Tea In Love with Farah Nabilah @ Friends di Dewan Tun Hussien Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sebelum ini, gandingan Farah dan Zul menerusi drama bersiri Titian Cinta mendapat sambutan hangat daripada netizen yang suka melihat lakonan mereka.
Kemudian, Farah bergandingan pula dengan Syafiq Kyle menerusi drama iklan Mocha Kau Bahagia. Manakala, lakonan bersama Fikry menerusi drama Cik Reen & Encik Ngok Ngek juga mendapat perhatian penonton yang suka dengan gandingan tersebut. – Agensi
