Thursday, June 8, 2023
28.3 C
Brunei

    -

    Farahdhiya cipta lagu kenang Allahyarham bapa

    Sebagai memperingati Allahyarham bapa iaitu Mohd Amin Zubir yang meninggal dunia dua tahun lalu, penyanyi Farahdhiya (gambar) mencipta sebuah lagu khas berjudul Tak Terganti.

    Farahdhiya atau Nur Farahdhiya Mohd Amin, 38, berkata, sepanjang proses mencipta dan merakamkan lagu berkenaan, hatinya mudah tersentuh kerana sentiasa teringatkan arwah bapanya.

    “Sudah tentu apabila menyanyikan lagu ini saya sentiasa terbayangkan Allahyarham bapa. Setiap patah perkataan dalam lagu ini ada kena mengena dengan dirinya.

    “Jadi setiap kali mendengar atau menyanyikan Tak Terganti saya tidak dapat mengelak daripada terbayangkan arwah,” katanya menerusi satu kenyataan kepada wartawan.

    Dalam pada itu, Farahdhiya berkata, lagu tersebut yang paling lama pernah dirakamkan sepanjang pembabitannya sebagai penyanyi sekitar 20 tahun lalu.

    Kata penyanyi ini, dia mengambil masa sekitar lima ke enam jam untuk menyelesaikan rakaman lagu berkenaan.

    “Selalunya saya ambil masa dua jam sahaja untuk merakamkan sebuah lagi sebab saya seorang yang fokus ketika berada dalam studio.

    “Tetapi untuk lagu ini, saya ambil masa yang lama kerana agak sukar untuk saya sampaikan… saya ambil masa lima ke enam jam untuk menyiapkan rakaman,” ujarnya.

    Berkongsi proses menggubah lagu berkenaan, Farahdhiya berkata, dia tampil dengan melodi Tak Terganti dalam tempoh kurang daripada sebulan manakala untuk lirik hanya mengambil masa seminggu.

    Bagi muzik video Tak Terganti, Farahdhiya turut tampil dengan jalan ceritanya selepas mendapat sokongan daripada pasukannya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Biparjoy dijangka terus mengganas

    NEW DELHI, 7 JUN – Jabatan Meteorologi India (IMD) hari ini berkata lekukan dalam yang memuncak menjadi ribut siklon teruk Biparjoy di bahagian timur-tengah...
    - Advertisment -