“Kadang-kadang rindu nak peluk emak. Balik kerja nak bercakap dan mengadu tapi tak dapatlah benda itu,” kata penyanyi Farahdhiya Mohd Amin, 41.
Penyanyi lagu Bertakhta Di Hati itu berkata, ibunya sudah lama pulang ke tempat kelahirannya di London, England.
Mereka hanya bertemu apabila ibunya datang ke Malaysia pada Disember 2022, selepas tiga tahun tidak berbuat demikian.
“Emak masih di London, masalahnya saya pula takut naik kapal terbang. Ini penyebab yang saya dah lama tak ke sana berjumpanya.
“Memang ada rasa nak pergi tapi setiap kali rancang, ia terbantut kerana akan berlaku macam-macam. Apatah lagi beberapa insiden membabitkan pesawat baru-baru ini,” katanya kepada Harian Metro.
Farahdhiya yang aktif berlakon berkata, dia sepatutnya merancang ke London bertemu ibunya, hujung Disember atau Januari lalu.
“Apabila berlaku beberapa insiden membabitkan kapal terbang membuatkan saya dan keluarga berasa takut untuk melakukan perjalanan jauh.
“Emak sendiri pun dah takut. Sebelum ini pun, emak yang datang sini. Dia tiba-tiba takut nak travel.
“Sekarang hari-hari kami buat panggilan video,” katanya. – Agensi
