Pernah berhadapan dengan orang yang dianggap ‘toksik’, pelakon Faralyna Idris ada pendekatan sendiri untuk menangani perkara tersebut.
Menurut Faralyna, 31, selain menjauhi individu sedemikian, apa yang lebih penting juga adalah melihat kepada diri sendiri jika mempunyai ciri-ciri sama.
“Rasanya semua orang pernah mengalami situasi begini. Seperti yang saya kongsikan dalam laman Instagram, lebih baik abaikan sahaja.
“Dalam masa sama, perlu lihat diri sendiri dahulu. Adakah wujud perasaan negatif apabila kita melihat atau terbaca status orang lain di media sosial?
“Kita perlu tahu pendirian diri kita yang sebenarnya,” kata Faralyna.

Kelmarin, pelakon drama Asmara ini berkongsi nasihat tentang berdepan individu toksik di media sosial miliknya.
Ibu kepada dua cahaya mata ini bagaimanapun memberitahu status nasihat yang dikongsi itu tidak ditujukan kepada mana-mana individu dan ia hanya sekadar perkongsian.
Dalam masa sama, perlu lihat diri sendiri dahulu. Adakah masa wujud perasaan negatif apabila kita melihat atau terbaca status orang lain di media sosial?
“Sekarang ini ramai pengikut saya di laman Instagram terdiri dalam kalangan remaja.
“Jadi ia sekadar perkongsian dan untuk peringatan kepada diri sendiri.
“Sosial media ini sebenarnya lebih banyak keburukan jika salah guna. Kalau mahu gunakan untuk kebaikan perlu tahu cara terbaik untuk mengawalnya,” kata Faralyna.
Sementara itu ditanya tentang kerjaya seni, Faralyna mengakui rindu untuk kembali berlakon namun masih belum ada waktu yang sesuai.
“Tipulah kalau saya katakan tidak rindu untuk ke set penggambaran.
“Tetapi jika Allah takdirkan ini adalah jalan terbaik untuk saya, maka pengalaman berlakon dahulu saya jadikan kenangan terindah dalam hidup,” katanya. – Agensi