Penyanyi, Farez Adnan menjelaskan masalah gangguan pemakanan yang dihidapinya sejak tahun lalu membuatkan dia mengambil keputusan melakukan prosedur gastric balloon bagi membantu menurunkan berat badan.
Farez atau Muhd Fareezuan Adnan, 27, berkata dia sudah cuba mengamalkan diet namun usahanya tidak membuahkan hasil. Selepas mendapatkan nasihat pakar, dia akhirnya bersetuju melakukan prosedur berkenaan.
“Waktu PKP pertama, berat saya naik 20 kilogram (kg) daripada 125 kg tetapi saya berjaya turun 18 kg dengan melakukan diet namun selepas itu berat badan saya naik semula.
“Saya sebenarnya sudah melakukan pelbagai usaha selama dua tahun ini tetapi berat saya memang susah turun. Jadi, saya ambil keputusan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor dan menyarankan saya buat pembedahan ini,” katanya kepada mStar.
Bekas peserta Akademi Fantasia itu menjalani prosedur gastric balloon dengan kos sekitar RM15,000 di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.
Bercakap lanjut mengenai pembedahan tersebut, Farez berkata pada awalnya doktor menyarankan dia melakukan prosedur bariatrik.
Namun disebabkan usianya masih muda dan tidak berani menjalani prosedur itu, Farez mengambil keputusan melakukan gastric balloon sebagai pilihan lain.
“Kalau ikutkan memang doktor mencadangkan saya buat bariatrik tetapi saya tak berani. Sebaliknya, saya pilih prosedur ini yang hanya memakan masa 20 minit.
“Doktor memasukkan belon bersaiz 550cc daripada mulut dan selepas selesai saya dibenarkan pulang ke rumah,” ujarnya. Bagaimanapun, penyanyi ini memberitahu mengalami beberapa kesan sampingan seperti muntah-muntah serta kekejangan pada bahagian perut sehingga memerlukan rawatan di hospital.
Ceritanya lagi, belon yang dimasukkan ke dalam perutnya hanya mampu bertahan sekitar 100 hari namun ia sudah cukup baginya untuk memulakan gaya hidup lebih sihat dengan pengambilan makanan dalam kuantiti lebih sedikit.
“Memang prosedur ini tak sama seperti bariatrik kerana belon yang dimasukkan ke dalam badan hanya bertahan sekitar tiga ke empat bulan sebelum ia pecah.
“Tetapi ini adalah permulaan untuk saya jaga pemakanan dengan baik kerana saya yakin selepas tiga bulan saya sudah tak boleh makan dalam kuantiti yang banyak kerana perut sudah terbiasa,” jelasnya. – Agensi