Sunday, January 26, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Farha papar penderitaan jutaan rakyat Palestin

    AMMAN – Filem Jordan, ‘Farha’, yang dikritik keras di Israel, adalah berdasarkan peristiwa sebenar dan mewakili hanya secebis penderitaan Palestin, kata pengarah Darin J Sallam memberitahu AFP.

    Dikeluarkan bulan lalu di Netflix, ‘Farha’ menggambarkan kekejaman terhadap rakyat Palestin semasa konflik 1948 berikutan penubuhan Israel, yang digelar oleh rakyat Palestin sebagai Nakba, atau ‘malapetaka’.

    Filem berbahasa Arab itu mengisahkan tentang seorang remaja Palestin, Farha, di mana kampungnya diserang oleh tentera Israel.

    Bapanya menyembunyikannya dan melalui celah pintu, dia menyaksikan ‘pembunuhan’ terhadap orang awam Palestin, termasuk dua gadis.

    Sallam, 35, berkata plot untuk filem penuh pertamanya diilhamkan daripada kisah yang diceritakan oleh ibunya, mengenai seorang wanita Palestin bernama Radiyeh.

    Sallam menceritakan mengenai ‘Farha’ semasa di Amman pada 10 Januari lalu. – AFP
    Sallam (tengah), melayari internet bersama Deema Azar (kanan), dan Ayah Jardaneh, dua orang produser ‘Farha’, semasa di Amman pada 10 Januari lalu. – AFP
    Sallam menunjukkan gambar peti pada sebuah buku semasa di Amman pada 10 Januari lalu. – AFP
    Sallam menunjukkan gambar bersejarah semasa di Amman pada 10 Januari lalu. – AFP
    Sallam (tengah), bersama Deema Azar (kanan), dan Ayah Jardaneh, dua orang produser ‘Farha’, semasa di Amman pada 10 Januari lalu. – AFP
    Sallam membelek sebuah buku semasa di Amman pada 10 Januari lalu. – AFP

    Filem itu mengisahkan “kisah seorang gadis yang terpaksa meninggalkan impiannya kerana peristiwa yang tidak dapat dikawalnya,” kata Sallam.

    ‘Farha’ dipaparkan dalam Festival Filem Antarabangsa Toronto 2021 dan telah memenangi banyak anugerah dalam festival lain.

    Para pegawai di Israel mengecam Netflix atas keputusan menyiarkan filem itu, di mana perbincangan mengenai dakwaan kekejaman semasa perang 1948 masih menjadi pantang larang.

    “Saya mahu membuka mata dunia mengenai detik penting dalam sejarah ini dan untuk menunjukkan bahawa tanah ini suatu masa dulu bukan tanpa orang,” kata Sallam, yang kini dikenali sebagai Israel dan wilayah Palestin.

    “Sebaliknya, ia adalah tanah dengan orang yang mempunyai kehidupan, impian, harapan dan sejarah.”

    Saya Farha

    Filem ini dirakamkan di bandar utara Jordan iaitu Ajlun dan Al-Fuhais, yang menyerupai kampung Palestin di mana kisah Farha bermula.

    Remaja perempuan itu cuba memujuk bapanya supaya membenarkan dia menamatkan pengajiannya di bandar, membuat persiapan untuk majlis perkahwinan rakannya, dan memetik buah ara sebelum kampungnya diserang.

    Sallam berkata dia mengelak daripada menayangkan keganasan, kecuali pembunuhan keluarga yang tidak bersenjata itu.

    “Adegan ini, yang mengejutkan kerajaan Israel, hanyalah ‘setitis air dalam lautan’ penderitaan berjuta-juta rakyat Palestin semasa Nakba,” katanya.

    Sallam menyeru lebih ramai pembikin filem untuk meneroka kisah yang menyakitkan ini dalam sejarah Palestin, yang ‘hampir tidak pernah muncul di pawagam’.

    Ibunya, yang berasal dari Syria, telah mendengar cerita Radiyeh di kem pelarian di negara itu dan menyampaikannya kepadanya, ‘dan saya memutuskan untuk membuat filem dan berkongsi cerita mengenainya’.

    “Radiyeh telah dikurung oleh bapanya yang bimbangkan keselamatan anaknya, dan apabila dia akhirnya berjaya keluar dari persembunyian tersebut, dia pergi ke Syria,” kata Sallam. “Di situlah dia bercerita kepada ibu saya.”

    Pembuat filem itu berkata dia telah ‘terputus hubungan dengan wanita ini’, seorang penduduk kem pelarian Palestin yang musnah akibat peperangan di Yarmouk, utara Damsyik, sejak pertempuran di Syria bermula pada 2011. Selepas satu tayangan filem itu di Amerika Syarikat, seorang penonton bercakap dengan Sallam.

    “Seorang wanita berusia 80an yang terselamat daripada Nakba memberitahu saya, ‘Saya Farha’”, katanya.

    Penipuan

    Bekas menteri Israel, Avigdor Lieberman, yang telah berkhidmat dalam kerajaan sehingga Benjamin Netanyahu kembali berkuasa bulan lalu, berkata pada November ‘tujuan keseluruhan filem itu adalah untuk mencipta cerita palsu dan menghasut penonton membenci tentera Israel’.

    Chili Tropper, bekas menteri kebudayaan Israel, berkata ‘Farha’ menonjolkan ‘pembohongan dan fitnah’.

    Bagi Sallam, yang bapanya warga Palestin, berkata ‘menafikan Nakba adalah menafikan kewujudan saya, menafikan tragedi berjuta-juta orang’.

    “Ayah saya sendiri terselamat dari Nakba. Dia melarikan diri ke Jordan bersama ibu bapanya.”

    Bapa Sallam dilahirkan di Ramle, yang kini dikenali sebagai Israel tengah.

    Kebanyakan penduduk Arab di kawasan berkenaan melarikan diri atau dipaksa keluar dari rumah mereka semasa konflik 1948, begitu juga dengan lebih 760,000 rakyat Palestin di seluruh negara.

    Banyak keturunan mereka sehingga hari ini tinggal di Jordan, Syria dan Lubnan.

    Lebih separuh daripada penduduk Jordan yang berjumlah kira-kira 10 juta orang berasal dari Palestin, hasil pemindahan besar-besaran pada 1948 dan semasa Perang Enam Hari 1967, ketika Israel menduduki Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis.

    Tahun lalu, pengarah Israel, Alon Schwarz berdepan reaksi balas terhadap dokumentarinya mengenai dakwaan pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin pada 1948 di Tantura, sebuah perkampungan Mediterranean di barat laut yang kini dikenali sebagai Israel.

    Gesaan semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk dalam kalangan aktivis Israel, untuk menjadi lebih telus mengenai tingkah laku tentera Israel semasa konflik 1948. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda