KUALA LUMPUR – Penyanyi, Farhan Azizan, berharap anak sulungnya, Souffea Zulaeqha, tidak mengikut jejak langkah beliau yang menjadikan bidang seni suara sebagai kerjaya utama.
Sebaliknya, wanita berusia 32 tahun itu mahu memberikan pendidikan sempurna buat permata hatinya dengan harapan Souffea mementingkan bidang akademik apabila besar nanti.
Farhan berkata, walaupun masih terlalu awal untuk memikirkan mengenai hala tuju anaknya, yang kini berusia empat bulan, beliau sudah membuat perancangan bagi memastikan kanak-kanak itu minat pada pelajaran.
“Saya tidak kisah apa yang Souffea inginkan apabila dewasa kelak. Tetapi sebagai ibu, saya akan mendidiknya sedari awal supaya meminati bidang akademik.
“Pada masa sama, saya akan mendedahkannya dengan aktiviti sukan atau bermain alatan muzik. Dari situ, kita boleh lihat ke arah mana minatnya nanti,” katanya.

Menurut Farhan, beliau bagaimanapun yakin apa saja kerjaya mampu menjana pendapatan sekiranya tumpuan diberikan sepenuhnya pada bidang yang diceburi itu.
Sementara itu, ditanya mengenai kehidupan beliau sejak bergelar ibu, Farhan bersyukur kerana anaknya seorang yang mudah dijaga.
“Alhamdulillah, Souffea senang dijaga dan tiada masalah untuk dibawa ke mana-mana. Paling penting, dia tidak kerap bangun pada waktu malam. Jadi, saya dan suami bolehkan mendapat tidur yang cukup.
“Cuma, sedikit perubahan kami rasakan adalah sekadar perlu bersiap lebih awal jika mahu membawa anak keluar. Itu saja,” tuturnya.
Bekas pelajar Akademi Fantasia musim keempat itu berkahwin dengan Ahmad Rashadan Suhaimi pada Oktober 2014.