Perceraian talak satu kali kedua berlaku antara pasangan pelakon sensasi, Farid Kamil, 43, dan Diana Danielle, 33, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, pagi kelmarin diputuskan secara baik oleh kedua-dua pihak, menurut mStar.
Peguam syarie mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, memandangkan Farid bersetuju melafazkan cerai, maka tiada keperluan membentangkan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam prosiding perceraian, hari ini.
“Kedua-dua pihak sudah selesaikan kes perceraian secara baik, Farid melepaskan Diana dengan talak satu, jadi berjumlah dua talak.
“Dulu, satu dan ini kali kedua, Alhamdulillah diselesaikan secara baik. Laporan JKP tak dibentangkan sebab keputusan sudah dibuat untuk dilepaskan secara baik.
“Tiada keperluan untuk membaca laporan, malah hakim juga tak baca. Terus kepada permohonan asal untuk lepaskan secara baik,” katanya ditemui selepas prosiding perceraian Farid dan Diana di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Farid diwakili peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan membuat lafaz cerai di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin.
Diana berkata, dia bersyukur dengan keputusan itu, malah dalam proses memperbaiki hubungan bersama Farid.
“Alhamdulillah, sekarang kami boleh fokus kepada anak-anak dan membina jalinan persahabatan lebih baik.
“Apa yang penting, kebaikan untuk anak-anak. Tiada apa sangat untuk diperkatakan kerana kerana semuanya sudah selesai. Terima kasih kepada Farid,” katanya.
Sementara itu, Farid mengucapkan terima kasih kepada Diana kerana memahami dan memberi kerjasama yang baik.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Diana kerana memahami situasi.
“Kami boleh fokus kepada masa depan anak-anak. Apa yang terbaik hari ini adalah apa yang berlaku pada hari ini,” katanya.
Pada 4 November lalu, Diana hadir ke mahkamah sama bagi pendaftaran rujuk dan memfailkan permohonan perceraian terhadap Farid. – Agensi