Pasangan pelakon Diana Danielle Danny Beeson dan Farid Kamil menjadi perhatian ramai apabila muncul bersama-sama di dalam sebuah majlis baru-baru ini.
Mereka kemudian terus menimbulkan tanda tanya apabila sama-sama menghadiri acara hiburan Karnival Mega Suria di Petaling Jaya, Selangor.
Dalam satu video yang tular, aksi Farid memegang erat tangan dan mencium Diana mencuri perhatian umum.
Menurut sinarplus yang memetik laporan media, ibu bapa kepada Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8 itu sudah kembali rujuk pada 31 Ogos lalu.
Berita tersebut dimaklumkan aktor Anwar: The Untold story itu dalam sebuah program hiburan.
“Alhamdulillah, saya dan isteri kembali rujuk pada 31 Ogos 2023,” ujar Farid.
Menurutnya, pengalaman lalu mematangkan manakala kesepakatan untuk rujuk adalah kerana agama.
“Perkahwinan saya dapat diselamatkan dengan izin Allah. Pengalaman lalu mematangkan kami.
“Pokoknya adalah agama. Saya sebagai suami boleh membimbing isteri dan isteri saya harus dapat menguatkan agama supaya dapat membimbing anak-anak,” katanya.
Diana pula menerusi temu ramah bersama media berkongsi tidak berhenti berdoa untuk keluarga. Katanya, sepanjang perpisahan pada Ogos lalu, mereka berdua bermuhasabah diri dan menilai semula perkahwinan.
“Kami berdua tidak berhenti berdoa untuk jalan yang terbaik. Kami pun tidak tahu apakah yang terbaik kerana ia adalah rahsia Allah.
“Jalan terbaik yang kami dapat adalah untuk menjalinkan hubungan. Apabila kita berpisah, jadi kita bermuhasabah diri dan bertenang.
“Proses itu membolehkan kita berfikir secara rasional,” ujar Diana yang berterima kasih atas doa yang dititipkan buat mereka. – Agensi
(Klik di sini untuk berita lanjut)