Pelakon Farid Kamil bakal kembali bergelar pelajar apabila memilih menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya.
Farid atau Farid Kamil Zahari, 44, bagaimanapun enggan mendedahkan kursus yang bakal diambil memandangkan masih dalam proses pendaftaran.
“Insya-Allah saya akan menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana di Universiti Malaya.
“Bagaimanapun saya rahsiakan terlebih dahulu kursus yang saya ambil memandangkan masih dalam proses.
“Jika ada rezeki saya mahu menyambung ke peringkat PhD pula selepas ini,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Farid memberitahu dia tergerak hati untuk menyambung pengajian selepas menghadiri pertemuan bersama 100 alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum ini.
Kata Farid dia berasa rendah diri apabila rata-rata alumni yang hadir memiliki tahap pendidikan sekurang-kurangnya ijazah sarjana dan ada pula pemegang doktor falsafah (PhD).
“Balik daripada majlis itu saya rasa seperti sudah ketinggalan memandangkan alumni yang hadir rata-rata ada master, PhD. Manakala saya sahaja yang hanya ada ijazah sarjana muda sahaja,” ujarnya.
Untuk rekod, Farid pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Seni Layar) UiTM pada 2010.
Aktor itu juga menamatkan pengajian Seni Lakon Teater peringkat diploma di universiti sama.
Sementara itu, Farid mendedahkan dia ada menerima tawaran sebagai pensyarah di sebuah universiti swasta namun menolaknya.
Jelas pelakon filem Bisikan Dosa itu, dia merasakan ilmunya sebagai pelakon dan pengarah belum cukup baik untuk membolehkan dia bergelar seorang pensyarah.
“Bagi saya selagi belum ada PhD, saya tak rasa apa saya ajarkan nanti menjadi satu pelajaran yang efektif kepada pelajar,” jelasnya. – Agensi