Meskipun laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, memaklumkan gagal menemui perdamaian, namun Farid Kamil tetap dengan pendirian tidak melafazkan cerai terhadap isterinya, Diana Danielle.
Farid menyatakan pendiriannya selepas ditanya Hakim Syarie Shukran Yusof sama ada dia selaku defendan bersedia melafazkan cerai atau sebaliknya.
Berikutan itu, mahkamah memerintahkan kes perceraian diteruskan dengan timbang tara iaitu hakam.
Mahkamah kemudiannya menetapkan kes diteruskan ke peringkat hakam kerabat atau keluarga dengan 15 Jun depan sebagai tarikh sebutan kes dan pelantikan hakam.
Dalam masa sama, mahkamah juga menetapkan tarikh sama untuk sebutan kes permohonan nusyuz yang dibuat Farid terhadap Diana.

Hakam dikenali sebagai arbitrasi atau timbang tara iaitu satu proses di mana pihak yang bertikai melantik seseorang bagi menyelesaikan pertikaian yang timbul berlandaskan hukum syarak.
Terdahulu, semasa prosiding ketika membacakan laporan JKP hakim syarie menyatakan pasangan itu gagal menemui perdamaian.
Ini kerana laporan itu menyatakan Diana nekad mahu bercerai kerana mendakwa sudah tiada persefahaman, manakala Farid tetap dengan pendirian enggan berpisah kerana masih menyayangi keluarga.
Ketika prosiding hari ini, Farid diwakili peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan, manakala Diana diwakili peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader.
Pada prosiding lalu, hakim syarie sama menasihatkan Farid dan Diana untuk berdamai bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.
Sebelum ini, Diana mendakwa tiada persefahaman, berlaku shiqaq dam tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri antara alasan mahu bercerai.
Permohonan cerai difailkan Diana pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Farid dan Diana berkahwin pada 2012 dan hasil perkongsian hidup dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8. – Agensi