Sunday, December 22, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Farid profesional, tak beremosi berdepan ujian rumah tangga

    Meskipun sedang berhadapan kemelut rumah tangga, pengarah filem Bisikan Dosa, Faizul A Rashid memuji sikap pelakon utamanya, Farid Kamil yang masih bersikap profesional ketika menjalani penggambaran filem, lapor BH Online.

    Faizul berkata, Farid tidak kelihatan beremosi, malah komited dengan tugasnya sebagai bintang utama filem seram itu.

    “Dia sangat profesional dan tetap meneruskan penggambaran seperti biasa. Pada hari berita (perceraian) tersebar, Farid berada di set penggambaran dan dia okay sahaja.

    “Malah, sehari sebelum berita tersebar, Farid masih bergelak ketawa di set. Itu satu perkara yang saya puji mengenai Farid, disiplinnya sangat baik dan profesional meskipun sedang berhadapan masalah peribadi.

    “Saya mengenali Farid sudah lama sebelum menjayakan filem ini. Kami ada keluar bermain golf bersama isteri dan anak-anaknya, semuanya okay,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran filem Bisikan Dosa di Kuang, kelmarin.

    Farid tetap komited menjalani penggambaran filem Bisikan Dosa walaupun sedang berdepan dengan konflik rumah tangga. – mStar

    Faizul berkongsi, Farid tetap memberikan komitmen sepenuhnya dalam menyelesaikan penggambaran selama tiga minggu.

    “Dia tak pernah nak minta tangguh penggambaran. Malah, sentiasa memberikan yang terbaik.

    “Kami juga tidak boleh nak salahkan Farid dalam situasi ini kerana setiap orang ada masalah tersendiri,” katanya.

    Nama Farid kembali menjadi sebutan selepas isterinya, Diana Danielle mengumumkan mahu memfailkan perceraian, Isnin lalu.

    Pada 10 Mac tahun lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson pernah memfailkan permohonan cerai di mahkamah yang sama iaitu Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

    Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda