Monday, July 14, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    FAS galak pemain ikut jejak Luqman Hakim

    KUALA LUMPUR, 30 NOV – Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengesahkan telah menandatangani kontrak dengan enam pelajar lepasan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) dalam usaha menggalakkan lebih ramai golongan belia mengikuti jejak pemain remaja sensasi Malaysia iaitu Luqman Hakim Shamsudin yang berhijrah ke Eropah.

    Luqman Hakim, 18, yang menyertai Selangor II akhir tahun lepas, telah berhijrah ke kelab profesional Belgium iaitu KV Kortrijk pada Ogos lalu selepas menandatangani kontrak selama lima tahun dan FAS melihat perkara itu sebagai pelaburan jangka panjang yang menguntungkan.

    Memandangkan Selangor kini maju setapak ke arah profesionalisme, Setiausaha Agung FAS Dr Johan Kamal Hamidon berkata kesemua enam pelatih akan diberikan pembangunan kerjaya terbaik pasca AMD bagi membantu meningkatkan tahap permainan mereka selain mempersiapkan mereka dengan cabaran di luar negara.

    “Kesemua pemain ini amat berbakat dan merupakan yang terbaik dalam negara bagi kumpulan umur mereka ketika ini.

    “Untuk masa depan Selangor, sudah tentu kami ingin menjadikan mereka sebagai pemain yang lebih baik dan menghantar mereka beraksi di luar negara pada suatu hari nanti.

    “Bagi kami, ini lebih kepada pelaburan untuk beberapa tahun akan datang dan berharap mereka menyahut cabaran serta bangkit pada kesempatan ini dengan mempamerkan potensi masing-masing kerana perjalanan masih jauh untuk mereka mempersiapkan diri bahkan untuk bermain di luar negara,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Semalam, Bernama melaporkan bahawa 12 daripada 40 pelajar lepasan generasi kedua AMD menandatangani kontrak antara dua hingga tiga tahun dengan juara Liga Super iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda