Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 APRIL – Fasa Awal Endemik di bawah Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID-19 akan dilanjutkan lagi selama sebulan dari 1 Mei sehingga 31 Mei 2022.
Jawatankuasa Pandu COVID-19 memaklumkan pelanjutan adalah bagi menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong mengongsikan perkara itu pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.
Jawatankuasa tersebut juga telah mengemaskinikan beberapa syarat dan garis panduan termasuklah semua pegawai dan kakitangan kerajaan tanpa mengira status vaksinasi masing-masing (kecuali kod BruHealth berwarna ungu), dikehendaki kembali bertugas secara fizikal ke pejabat masing-masing bermula 25 April ini.
Ini termasuklah mereka yang bertugas di kaunter perkhidmatan dan petugas barisan hadapan.
“Keterangan lanjut mengenai perkara ini akan dimaklumkan melalui surat keliling Jabatan Perdana Menteri yang akan dikeluarkan esok,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau juga menggalakkan kepada sektor swasta untuk melaksanakan garis panduan tersebut dan ketetapan lanjut adalah tertakluk daripada majikan masing-masing.
Beliau seterusnya menjelaskan mengenai ‘Protokol Day Pass’ yang disediakan bagi pegawai dan kakitangan kerajaan yang berkod merah bagi menggantikan keperluan kuarantin dengan ART negatif selama lima hari akan dilaratkan kepada orang awam.
“Orang awam yang mempunyai kod merah hendaklah melaporkan keputusan ujian ART negatif pada setiap hari selama lima hari dan disahkan melalui aplikasi BruHealth bagi membolehkan mereka memasuki premis pada hari-hari tersebut,” jelas Yang Berhormat Pehin.
Protokol ini akan mula dilaksanakan pada Jumaat, 6 Mei depan, tambahnya.